
MELAKA BERSEDIA MENJADI LOKASI PENGANJURAN ‘LIMA’
KLEBANG 30 Ogos – Melaka bersedia memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) sekiranya diberikan peluang oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka mempunyai kedudukan strategik serta berkemampuan menganjurkan acara dwi tahunan bertaraf dunia itu namun aspek kemampuan kewangan dan keperluan infrastruktur perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Itu pada peringkat awal (cadangan) kerana kerangka awal yang akan difikirkan disebabkan infrastruktur untuk menganjurkan LIMA ini memerlukan perbelanjaan besar.
“Memang Melaka adalah sebuah negeri yang strategik untuk menganjurkan tetapi kita kena lihat juga kepada kemampuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation β CIMIC) Melaka 2026 yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Dataran 1 Malaysia Klebang, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, perkara berkenaan boleh dibincangkan bersama pihak berkaitan sekiranya ia benar-benar memberi manfaat bukan sahaja kepada Kerajaan Persekutuan tetapi Negeri Melaka khususnya.
“Boleh dibincangkan di peringkat Kerajaan Persekutuan nanti dan sekiranya ia benar-benar memberi manfaat kepada Kerajaan Persekutuan serta Negeri kenapa tidak boleh dilaksanakan.
“Malah kita yakin dan percaya Melaka bukan sekadar megeri kecil tetapi berupaya menganjurkan penganjuran bertaraf dunia malah ia dibuktikan dengan kejayaan penganjuran WTD (World Tourism Day) dan WTC (World Tourism Conference),” katanya.
Jelas beliau, sekiranya penganjuran itu akan direalisasikan Kerajaan Negeri bersedia memikul tanggungjawab serta tidak akan mengecewakan kepercayaan diberikan Kerajaan Persekutuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


