FESTIVAL SUNGAI MELAKA BAKAL ‘GEGAR’ ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 30 Ogos – Festival Sungai Melaka 2026 bakal menggegarkan daerah Alor Gajah menerusi tiga program menarik di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang September ini, termasuk pertandingan memancing, perahu berhias dan pertunjukan jetski.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, siri program berkenaan dianjurkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning dan Ayer Limau, selain Pesta Pantai Tanjung Bidara.

Menurutnya, program pertama akan berlangsung di DUN Taboh Naning pada 5 September menerusi pertandingan memancing D’Bendang, diikuti program di DUN Ayer Limau antaranya pertandingan memancing udang galah, perahu berhias dan lain-lain lagi pada 6 dan 12 September.

“Untuk Festival Sungai Melaka 2026, kita akan beralih ke kawasan Alor Gajah dengan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga.

“Kita akan bermula di DUN Taboh Naning dengan pertandingan memancing D’Bendang pada 5 September, manakala pada 6 September pula berlangsung pertandingan memancing udang galah di DUN Ayer Limau, disusuli pelbagai program lain pada 12 September,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 Sesi 2 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Shaharul Azuar berkata, kemuncak siri Festival Sungai Melaka 2026 akan berlangsung di DUN Tanjung Bidara menerusi Pesta Pantai Tanjung Bidara pada 18 hingga 20 September dengan pelbagai acara pantai, termasuk pertunjukan jetski.

“Bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara, kita akan mengadakan pertunjukan jetski dan pelbagai acara pantai menarik untuk pengunjung. Kita juga memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman berkaitan aktiviti air yang disediakan dengan kadar minimum sepanjang pesta berkenaan.

“Jadi, kita mempelawa seluruh rakyat Melaka untuk bersama-sama memeriahkan Festival Sungai Melaka di daerah Alor Gajah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post INSAN SUMBANG BAKTI PERKASA SYIAR ISLAM TERIMA PENGIKTIRAFAN