NEGERI LAIN DISARAN CONTOHI MELAKA LANTIK WAKIL ATM DALAM PBT

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KLEBANG 30 Ogos – Semua Kerajaan Negeri disaran mengikuti langkah Melaka dengan melantik wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertujuan memperkukuh hubungan serta kerjasama antara ATM serta awam di peringkat akar umbi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka itu merupakan sesuatu yang belum dilihat di negeri-negeri lain.

Katanya, ia sekali gus membuktikan komitmen Melaka dalam memperkukuh hubungan antara ATM dengan masyarakat awam.

“Satu perkara yang tidak terdapat di mana-mana negeri sekalipun. Atas sebab itu saya kena sebut dan ucapkan berbanyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama (Ab Rauf Yusoh).

“Bagi Negeri Melaka, pihak Kerajaan Negeri melantik wakil daripada ATM untuk menjadi ahli-ahli majlis dalam PBT dan hari ini terdapat empat orang anggota tentera yang menjadi ahli majlis di PBT.

“Masih lagi belum terdapat di negeri-negeri lain. Jadi mungkin saya boleh sarankan kepada negeri-negeri lain untuk ikut contoh negeri Melaka, melantik wakil ATM untuk menjadi Ahli Majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjasama Awam – Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) Melaka 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran 1Malaysia, Klebang.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mohamed Khaled berkata, penglibatan wakil ATM dalam PBT itu akan menjadi satu lagi ruang untuk memperkukuh hubungan antara pihak tentera dan masyarakat awam selain membolehkan kedua-dua pihak saling berkongsi kepakaran, pengalaman dan maklumat.

Menurutnya, kerjasama erat antara masyarakat awam dan ATM amat penting dalam menghadapi bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks, termasuk bencana, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan, serangan siber dan ancaman ekstremisme.

“Pertahanan yang berkesan memerlukan kerjasama serta penglibatan semua pihak terutamanya daripada masyarakat awam.

“Kedua-dua entiti, awam dan tentera mesti bergerak dalam satu hubungan simbiosis yang saling memerlukan,” katanya.

Beliau berharap hubungan antara ATM dengan masyarakat di Melaka dapat terus diperkukuh melalui pelbagai bentuk kerjasama pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post MELAKA BERSEDIA MENJADI LOKASI PENGANJURAN ‘LIMA’
Next post KERAJAAN TERUS DEKATI RAKYAT, DENGAR DENYUT NADI AKAR UMBI