KERAJAAN TERUS DEKATI RAKYAT, DENGAR DENYUT NADI AKAR UMBI

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

TABOH NANING 30 Ogos – Program turun padang menjadi medan penting buat kerajaan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, selain memastikan pelbagai dasar, bantuan dan perkhidmatan kerajaan dapat diakses rakyat dengan lebih mudah dan pantas.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan yang dilaksanakan di negeri ini membuktikan komitmen kerajaan untuk sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

Jelas beliau, usaha itu turut digerakkan menerusi Program MADANI Kita yang menyampaikan mesej nyata bahawa kerajaan sentiasa berusaha memenuhi keperluan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Program ini bukan sekadar mengumpulkan pelbagai perkhidmatan Kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung, malah bertindak sebagai sebuah platform kebersamaan untuk kita saling mengenali, bertukar pandangan, yang akhirnya mampu merapatkan jurang dan menjalin perpaduan antara pentadbiran negara dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program MADANI Kita (PMK) Bersama Komuniti Taboh Naning Tahun 2026 di Dewan Terbuka Taman Sri Naning, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Perpaduan Negar
Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, sebanyak 28 agensi mengambil bahagian sebagai rakan kolaborasi dalam program itu, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelas beliau, pendekatan mesra rakyat yang dilaksanakan membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan dasar, bantuan, kemudahan serta perkhidmatan kerajaan secara terus, sekali gus menjadikan urusan lebih mudah, pantas dan telus.

“Antara bantuan yang disediakan ialah Sumbangan Wakalah Zakat oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 200 murid Tabika Perpaduan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah yang terdiri daripada golongan asnaf.

“Selain itu, Sumbangan Khas Perdana Menteri sebanyak RM5,000 turut disalurkan kepada lima Kawasan Rukun Tetangga (KRT) aktif di Melaka menerusi Program Bakul RAHMAH yang menyediakan barangan makanan asas bernilai RM100 kepada setiap penerima yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program MADANI Kita turut menawarkan pelbagai perkhidmatan percuma kepada masyarakat termasuk gunting rambut oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan servis motosikal oleh Kolej Komuniti Bukit Beruang yang masing-masing terhad kepada 100 orang terawal.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula menyediakan 500 unit topi keledar percuma menerusi inisiatif pertukaran topi keledar, membabitkan 100 unit saiz kanak-kanak dan 400 unit saiz dewasa.

“Turut menjadi tarikan ialah perkhidmatan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) yang membantu masyarakat membuat semakan, mendapatkan khidmat nasihat serta menguruskan proses tuntutan semula Wang Tak Dituntut (WTD) dengan lebih pantas dan efisien,” tambahnya.

Ketua Menteri berkata, pelbagai inisiatif yang dibawa menerusi program itu mencerminkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan benar-benar dirasai rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

542
Kongsi :
Previous post NEGERI LAIN DISARAN CONTOHI MELAKA LANTIK WAKIL ATM DALAM PBT