
MELAKA BERPOTENSI JADI LOKASI ALTERNATIF PENGANJURAN LIMA
KLEBANG 30 Ogos – Melaka berpotensi menjadi lokasi alternatif bagi penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada masa hadapan sekiranya Langkawi tidak lagi bersesuaian untuk penganjuran acara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kemampuan Melaka menjadi tuan rumah Karnival Kerjasama Awam – Tentera (CIMIC) pada skala lebih besar termasuk penglibatan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuka ruang untuk melihat potensi negeri itu bagi penganjuran acara pertahanan dan aeroangkasa berskala antarabangsa.
“Apabila kita lihat kapal pun boleh memainkan peranan dalam penyertaan, maka terfikir juga kepada kita mungkin agaknya kalau kita memerlukan kawasan yang lebih luas, apabila kita menganjurkan LIMA, tak semestinya kita buat di Langkawi.
“Kita boleh pindahkan ke Klebang, Negeri Melaka pada satu hari nanti. Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjasama Awam – Tentera (CIMIC) Melaka 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran 1Malaysia, Klebang.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Malek Razak bin Sulaiman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan melihat perkara itu secara lebih lanjut, termasuk sekiranya Langkawi pada masa hadapan didapati tidak lagi bersesuaian untuk menjadi lokasi penganjuran LIMA.
“Ini Datuk KSU (Ketua Setiausaha) pun ada. Kita akan memikirkan untuk merancang jika kita dapati Langkawi sudah tidak bersesuaian, maka kita tak khuatir Melaka boleh menggantikan kawasan Langkawi apabila kita menganjurkan LIMA,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

