
CIMIC DEKATKAN RAKYAT DENGAN ‘DUNIA’ PERTAHANAN
KLEBANG 30 Ogos – Penganjuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) menjadi platform penting dalam mendekatkan masyarakat dengan dunia pertahanan dan keselamatan negara menerusi pelbagai pengisian.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu bukan sekadar menjadi medan pertemuan antara anggota tentera dan masyarakat awam tetapi berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dengan institusi pertahanan negara.
“Bagi saya, Karnival CIMIC ini membawa satu nilai cukup besar kerana ia bukan sekadar medan pertemuan antara anggota tentera dengan masyarakat awam tetapi sebuah jambatan yang mendekatkan rakyat kepada dunia pertahanan dan keselamatan negara.
“Klebang menjadi saksi kepada semangat kebersamaan itu malah rakyat bukan sekadar melihat anggota dan aset pertahanan negara melalui kaca televisyen, sebaliknya diberi ruang untuk mendekati, mengenali serta memahami dengan lebih dekat peranan termasuk pengorbanan besar di sebalik benteng pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Karnival Kerjasama Awam-Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) Melaka 2026 yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Dataran 1Malaysia Klebang, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Saleh; Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut beliau, lebih 19 pengisian termasuk aktiviti disediakan khusus untuk rakyat yang merangkumi pameran, demonstrasi ketangkasan, aktiviti interaktif, perkongsian kerjaya serta pelbagai program lain.
“Tentunya antara yang paling dinantikan buat julung kalinya apabila enam buah kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlabuh di perairan Klebang.
“Malah, saya dimaklumkan, sambutan bagi lawatan ke kapal TLDM ini memang cukup luar biasa apabila dalam tempoh kira-kira 10 jam sahaja selepas pendaftaran dibuka, semua slot lawatan sudah penuh.
“Ini bermakna, memang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang istimewa ini, melihat dari dekat aset pertahanan negara dan merasai pengalaman yang selama ini mungkin hanya dapat disaksikan dari jauh,” katanya.
Jelas beliau, semua ini bukan semata-mata untuk mempersembahkan kecanggihan aset atau kehebatan pasukan keselamatan tetapi disebalik setiap aset yang dilihat, tersimpan disiplin, latihan, kepakaran dan pengorbanan yang dibina bertahun-tahun lamanya, demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

