AKAR ANAK MUDA MELAKA MESTI KUAT, BERANI TEMBUS DUNIA

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Generasi muda Melaka perlu mempunyai akar yang kukuh di negeri sendiri, namun pada masa sama berani membawa pandangan, idea dan kemampuan mereka jauh ke peringkat dunia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, anak muda perlu dipersiapkan bukan sekadar sebagai pewaris pembangunan sedia ada, sebaliknya menjadi pencipta kejayaan baharu dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, teknologi, sains, sukan, seni dan kepimpinan.

“Kita mahu anak Melaka berani menjadi pencipta, usahawan, jurutera, saintis, atlet, seniman, pekerja mahir, profesional dan pemimpin.

“Akar anak muda Melaka mesti kuat di negeri ini, apatah lagi, pandangan anak muda Melaka juga mesti jauh ke dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1 Malaysia Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, cabaran kemerdekaan bagi generasi hari ini sudah berubah dan tidak lagi hanya berkisar kepada perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.

Sebaliknya, katanya, anak muda perlu membebaskan diri daripada kemiskinan ilmu, perpecahan, budaya fitnah dan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Negara ini selepas ini berada di tangan saudara dan saudari. Erti merdeka bagi generasi hari ini, cabarannya sudah berbeza. Kita perlu merdeka daripada kemiskinan ilmu, sikap mudah berpecah, budaya fitnah dan maklumat palsu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemajuan yang ingin dicapai Melaka tidak boleh menyebabkan negeri itu kehilangan jati diri dan warisan yang menjadi asas pembentukan identitinya.

Menurutnya, Melaka memiliki khazanah besar meliputi sejarah, bahasa, seni, pantun, adat, makanan, seni bina serta kisah perjuangan yang perlu terus dihidupkan dalam kalangan generasi muda.

“Warisan ini bukan untuk disimpan sebagai bahan pameran semata-mata. Ia perlu dibugarkan supaya generasi muda memahami dari mana mereka datang, dan pada masa yang sama mempunyai keberanian untuk mencipta masa depan mereka sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri membawa semangat ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ dalam pentadbiran dengan menggabungkan kebijaksanaan untuk merancang dan keberanian untuk melaksanakan.

Katanya, Melaka tidak boleh hanya berbangga dengan kejayaan masa lalu, sebaliknya perlu berani mencipta pencapaian baharu yang boleh menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post KEMERDEKAAN BERMAKNA APABILA RAKYAT MELAKA NIKMATI HASIL KEMAJUAN
Next post BOLEH BERBEZA PENDAPAT, JANGAN HILANG HORMAT