
KEMERDEKAAN BERMAKNA APABILA RAKYAT MELAKA NIKMATI HASIL KEMAJUAN
KLEBANG 31 Ogos – Kemerdekaan hanya benar-benar bermakna apabila hasil pembangunan dapat dinikmati dan dirasai rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Jelas beliau, hasil itu perlu diterjemah menerusi peluang pekerjaan, pendidikan, kediaman selesa, bantuan ketika berdepan kesusahan serta masa depan lebih terjamin untuk generasi akan datang.
Atas prinsip itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri terus membangunkan Melaka menerusi pelbagai inisiatif termasuklah menggerakkan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 sebagai hala tuju pembangunan negeri, selain memperkukuh gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Pelan strategik ini meletakkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pelancongan, infrastruktur, warisan dan pembangunan modal insan sebagai antara asas penting dalam usaha membawa Melaka menuju sebuah negeri yang lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1 Malaysia Klebang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, usaha berterusan Kerajaan Negeri turut membuahkan hasil apabila Melaka merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM14.68 bilion, pencapaian tertinggi dalam tempoh lebih 20 tahun.
Pada suku kedua tahun ini pula, katanya, kadar pengangguran Melaka berada pada 2.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional 3.0 peratus.
“Namun saya mahu tegaskan, angka pelaburan bukan untuk kita banggakan di atas kertas semata-mata. Setiap ringgit pelaburan yang masuk mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan yang lebih baik, pemindahan teknologi, peluang kepada usahawan tempatan dan masa depan yang lebih luas untuk anak-anak Melaka,” katanya.
Beliau berkata, Melaka kini bukan sahaja dikenali sebagai negeri bersejarah dan destinasi pelancongan, malah sedang membina kekuatan dalam sektor pembuatan, elektrik dan elektronik, semikonduktor, teknologi, ekonomi digital, pelancongan, perkhidmatan serta keusahawanan.
“Kita mahu dunia datang ke Melaka bukan sahaja untuk melihat sejarah kita, tetapi juga untuk melabur, berniaga, mencipta teknologi, mencari bakat dan membina masa hadapan bersama kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pembangunan ekonomi yang dirancang tidak boleh menyebabkan golongan memerlukan tercicir daripada menikmati hasil kemajuan negeri.
Katanya, Melaka sehingga kini terus mengekalkan pencapaian sifar miskin tegar, manakala lebih RM525.2 juta diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Inilah yang saya maksudkan dengan Melaka Sayang Rakyat. Ia bukan sekadar slogan yang hanya disebut di atas pentas. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang dapat dirasai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

