DI MELAKA, KEMERDEKAAN BUKAN SEKADAR BAB SEJARAH – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Kemerdekaan bukan sekadar satu bab dalam buku sejarah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang Melaka sebagai bumi yang pernah kehilangan kedaulatan dan menyaksikan kebangkitan harapan sebuah bangsa untuk mendapatkannya kembali.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejarah itu menjadi peringatan bahawa kebebasan tidak hadir dengan mudah, manakala kemajuan yang dinikmati hari ini tidak akan kekal tanpa kesungguhan seluruh rakyat untuk mempertahankannya.

“Hari ini kita mesti mengenang jasa para pejuang kemerdekaan, pemimpin terdahulu, anggota keselamatan, penjawat awam, pekerja, petani, nelayan, guru, peniaga serta rakyat pelbagai kaum yang bersama-sama membina negara ini.

“Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukan hasil usaha seorang tokoh atau satu kelompok sahaja. Ia dibina melalui keberanian, kebijaksanaan, kesabaran dan kesediaan rakyat untuk mencari titik persamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1 Malaysia Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, bagi rakyat Melaka, kisah kemerdekaan mempunyai makna yang sangat dekat kerana tanah ini pernah merasai pahitnya kehilangan kedaulatan sejak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511.

Jelas beliau, Melaka melalui perjalanan panjang di bawah kuasa asing sebelum akhirnya menjadi salah satu pentas penting yang membawa negara menuju kemerdekaan.

“Di bumi Melaka inilah, pada 20 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kepada rakyat di Padang Banda Hilir.

“Dari Melaka, khabar yang dinanti-nantikan itu bergema ke seluruh negara… tanah air ini akan kembali menentukan nasibnya sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap sambutan Hari Kebangsaan dapat menjadi ruang untuk rakyat menilai kembali makna kemerdekaan serta menghargai segala pengorbanan yang membolehkan generasi hari ini menikmati keamanan dan kemajuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

519
Kongsi :
Previous post 30,000 HIDUPKAN AMBANG MERDEKA MELAKA DI KLEBANG