
30,000 HIDUPKAN AMBANG MERDEKA MELAKA DI KLEBANG
KLEBANG 30 Ogos – Dianggarkan lebih 30,000 pengunjung membanjiri Dataran 1 Malaysia Klebang malam ini dengan sajian persembahan penuh warna-warni sempena Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Melaka.
Antara mencuri tumpuan adalah kemunculan penyanyi popular tanah air Datuk Ziana Zain dan Datuk Amy Search yang mendendangkan beberapa lagu popular mereka.
Ziana Zain yang merupakan anak jati Merlimau Melaka mengambil pentas menerusi dendangan lagu popular Anggapanmu sebelum kembali menghiburkan penonton dengan lagu Puncak Kasih dan Kalau Mencari Teman.
Tidak kurang hebat, legenda rock tanah air, Amy Search menghangatkan malam Ambang Merdeka dengan deretan lagu popular termasuk Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Pawana.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan penyanyi Indonesia, Charly van Houten yang juga bekas vokalis kumpulan ST12 yang menghiburkan pengunjung menerusi beberapa lagu popular pada dua segmen persembahannya.
Namun, kemeriahan malam Ambang Merdeka itu bukan hanya bergantung kepada nama besar industri hiburan apabila pentas turut dimeriahkan bakat tempatan menerusi persembahan muzik, tarian dan kebudayaan Melaka.
Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan syair bertemakan kemerdekaan oleh Dr. Shafa’atussara Silahudin yang diiringi alunan violin.
Selain itu, turut disajikan persembahan etnik kebudayaan Melaka yang mengetengahkan elemen warisan pelbagai kaum.
Lebih menarik, pentas Ambang Merdeka turut mengetengahkan penyertaan bakat muda menerusi penglibatan pelajar dan kumpulan seni dari beberapa sekolah termasuk SK Tangga Batu dan SK Bachang.
Menjelang tengah malam, suasana semakin bersemangat apabila persembahan Kombo Badan Warisan Seni Melaka menghiburkan pengunjung dengan lagu Negaraku, Kita Punya Malaysia dan Budak-Budak Melaka mengajak pengunjung bersama-sama menghayati semangat patriotisme.
Detik paling dinanti tiba apabila hitungan detik 31 Ogos bermula pada jam 11.55 malam yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, disusuli persembahan bunga api dan rangkaian lagu patriotik termasuk Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


