BOLEH BERBEZA PENDAPAT, JANGAN HILANG HORMAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat meruntuhkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama, sebaliknya sikap saling menghormati perlu terus menjadi asas kehidupan masyarakat majmuk di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kepelbagaian kaum dan komuniti merupakan sebahagian daripada sejarah Melaka yang telah berkembang sejak berabad-abad lamanya.

Katanya, masyarakat Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti, Portugis serta pelbagai komuniti lain telah bersama-sama mencorakkan identiti unik negeri itu.

“Jangan kerana perbezaan pandangan, kita meruntuhkan apa yang mengambil masa begitu lama untuk dibina.

“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan hilang hormat. Kita boleh bersaing, tetapi jangan bermusuhan.

“Kita boleh mempertahankan prinsip, tetapi jangan sampai memutuskan persaudaraan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1 Malaysia Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa serta semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung lancar dan meriah.

Penghargaan turut diberikan kepada 158 kontinjen yang melibatkan lebih 8,500 peserta perbarisan serta 2,000 peserta persembahan khas grafik manusia sempena Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

583
Kongsi :
Previous post AKAR ANAK MUDA MELAKA MESTI KUAT, BERANI TEMBUS DUNIA
Next post GELAGAT 500 GURU KAFA PIKAT PERHATIAN, RAIH ANUGERAH KONTINJEN CERIA