
GELAGAT 500 GURU KAFA PIKAT PERHATIAN, RAIH ANUGERAH KONTINJEN CERIA
KLEBANG 31 Ogos – Langkah seiring, pakaian seragam dan wajah penuh ceria menjadi cerminan semangat Persatuan Guru-Guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekali gus membawa pulang Anugerah Khas Kontinjen Ceria MADANI.
Ketua Biro Multimedia Persatuan Guru-Guru JAIM, Muhammad Redha Muhamad Ruji berkata, pengiktirafan itu hasil penyertaan 500 guru KAFA Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul pada 25 Ogos lalu.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT atas anugerah yang diberikan Kerajaan Negeri kepada kami sempena perarakan Maulidur Rasul.
“Kontinjen kami antara yang paling ramai, jadi keceriaan itu memang kita cuba tonjolkan sebaik mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Melaka Berselawat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Katanya, persiapan dilakukan lebih awal mengikut daerah di bawah penyeliaan majlis guru besar, termasuk penyelarasan pakaian, sepanduk dan ‘banner’ sebelum guru dari Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah digabungkan sebagai satu kontinjen.
“Kami wakil daripada persatuan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas anugerah diberikan dan insya-Allah tahun hadapan kami akan sertai dengan lebih ramai lagi anggota,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

