
KETUA MENTERI SEBAK LIHAT SOKONGAN RAKYAT MELAKA SEMARAK HARI KEBANGSAAN
KLEBANG 31 Ogos – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak dapat menyembunyikan rasa sebak melihat sokongan luar biasa rakyat yang membanjiri Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Persiaran Jalan Pantai, Klebang, hari ini.
Beliau berkata, kehadiran lebih lebih 75,000 rakyat berbilang kaum sempena sambutan itu membuktikan semangat patriotisme dan kecintaan rakyat Melaka terhadap negara terus subur.
Malah, ujar beliau sepanjang tiga hari sambutan, sokongan padu rakyat terhadap acara yang dianjurkan Kerajaan Negeri sempena Hari Kebangsaan juga cukup luar biasa.
“Saya ucap ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang telah meraikan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka sejak tiga hari lepas, bermula dengan Melaka Berselawat, diikuti Ambang Merdeka dan kemuncaknya hari ini apabila puluhan ribu rakyat Melaka datang.
“Saya ucap terima kasih, Melaka,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita selepas sambutan berkenaan.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Terdahulu, sambutan yang julung kali diadakan di tepi laut di Klebang itu membabitkan perbarisan seramai 12,000 peserta daripada 158 kontinjen melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Acara turut diserikan dengan perarakan 32 unit pelbagai jenis kenderaan yang mempamerkan keupayaan dan kepelbagaian logistik Jabatan dan Agensi Kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform serta sektor swasta.
Sambutan tahun ini turut mencatat sejarah apabila dua tahun berturut-turut dalam penganjuran sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka, acara lintas hormat udara melibatkan pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang.
Pertunjukan udara tersebut menjadi tumpuan utama orang ramai dan memperlihatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Selain perarakan dan perbarisan, sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan ‘human graphic’ terbesar dengan penyertaan seramai 2,500 peserta yang disertai oleh anak muda, kebudayaan oleh artis tempatan dan pelajar.
Turut menggamatkan suasana, persembahan pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu patriotik, pertunjukan darat oleh pasukan keselamatan serta persembahan khas oleh kanak-kanak dan komuniti setempat.
Suasana penuh warna-warni ini jelas mencerminkan semangat patriotisme rakyat yang mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan setia kepada tanah air.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


