
ORANG SELANGOR, PAHANG PILIH SAMBUT MERDEKA DI MELAKA
KLEBANG 31 Ogos – Kredibiliti Melaka menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan yang meriah ternyata bukan sahaja menarik rakyat tempatan, malah turut mendorong pengunjung dari negeri lain seperti Selangor dan Pahang memilih bumi bersejarah ini sebagai destinasi meraikan detik bersejarah itu.
Bagi sebuah keluarga dari Banting, Selangor, pelbagai tarikan menarik yang disediakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 menjadi tarikan utama sehingga mereka sanggup menginap di Klebang sejak semata-mata mahu menyaksikan sendiri pelbagai pengisian yang disediakan.
Mohd Saifuddin Soib, 53, berkata dia bersama isteri, Emeldawati Johar, 52, serta lima anak berusia antara tujuh hingga 20 tahun memilih Melaka kerana sambutan yang dianjurkan mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri.
Dia yang juga seorang guru berkata, antara yang menarik perhatian mereka ialah pelbagai pengisian termasuk pameran enam kapal perang, selain pertunjukan dan persembahan yang berlangsung sepanjang sambutan selama tiga hari itu.
“Kami pilih Melaka kerana sambutan di sini ada kelainan, mempunyai keistimewaan dan nilai tersendiri sehingga membuatkan anak-anak pun teruja untuk bangun seawal jam 4 pagi.
“Kami turut membawa Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan sambutan kemerdekaan bersama rakyat lain dan pengalaman Hari Kebangsaan 2026 ini cukup bermakna,” katanya ketika ditemui pemberita.

Lebih istimewa, anak bongsu Mohd Saifuddin dilahirkan pada 31 Ogos, menjadikan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun mempunyai makna tersendiri buat keluarga berkenaan.
Katanya, tarikh kelahiran itu secara tidak langsung menjadikan mereka sekeluarga sentiasa mengingati sambutan kemerdekaan negara dan meraikannya dalam suasana yang berbeza setiap tahun.
Sementara itu, Khairul Azmi Mohd Yunos, 43, dari Kuantan, Pahang, berkata kemeriahan sambutan di Melaka turut membuatnya tertarik membawa dua anak berusia lima tahun dan setahun untuk merasai sendiri pengalaman menyambut Hari Kebangsaan di negeri bersejarah itu.
Menurutnya, pelbagai persembahan yang disediakan, termasuk pertunjukan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menjadi antara tarikan utama yang membuatkannya tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke Klebang.
“Walaupun keadaan sesak, bagi saya satu kerugian jika tidak mengambil kesempatan dengan acara yang telah disediakan Kerajaan Negeri ini kerana pengisiannya sangat menarik,” katanya.
Kehadiran pengunjung dari luar Melaka itu mencerminkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bukan sahaja menjadi acara untuk rakyat negeri, malah berjaya menarik keluarga dari negeri lain untuk bersama-sama merasai kemeriahan sambutan di Klebang.
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 menyaksikan lebih 75,000 pengunjung membanjiri Persiaran Jalan Pantai Klebang bagi menyaksikan perbarisan membabitkan 158 kontinjen dengan lebih 12,000 peserta.
Turut menjadi perhatian ialah persembahan khas grafik manusia membabitkan 2,000 peserta, selain pelbagai pengisian lain termasuk pameran dan pertunjukan aset pertahanan yang memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


