
AKSI ‘PACAK’ PESAWAT TUDM PUKAU ORANG MELAKA
KLEBANG 31 Ogos – Aksi pesawat tempur, pengangkut dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggegarkan ruang udara Melaka memukau pengunjung yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Persiaran Jalan Pantai, Klebang, hari ini.
Lebih istimewa apabila formasi lintas udara itu diketuai sendiri Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris ‘call sign’ Giro.
Formasi lintas udara didahului pesawat pejuang melibatkan Sukhoi Su-30 MKM, FA-18 D Hornet dan Hawk 200, pesawat pengangkut taktikal A400 M dan C-130 Hercules dan helikopter jenis EC725 AP serta AW-139.
Aksi ‘pacak’ daripada pesawat Su-30 MKM, FA-18D Hornet dan Hawk 200 mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada ribuan pengunjung yang nyata berpuas hati dengan pertunjukan udara yang disusun TUDM.
Persembahan udara juga memberikan pengalaman baharu kepada rakyat Melaka yang buat julung kalinya dapat menyaksikan sendiri pesawat pejuang TUDM Terbang rendah sambil melakukan aksi mendebarkan.
Sambutan Hari Kebangsaan di Melaka kali ini melibatkan 158 kontinjen dengan 8,500 peserta, selain persembahan grafik Manusia yang melibatkan 2,000 orang peserta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


