MASUK PERCUMA 31 OGOS: PENGUNJUNG SERBU ZOO MELAKA SEAWAL 6.30 PAGI

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 31 Ogos – Bahang matahari yang semakin terik tidak menghalang orang ramai termasuk pelancong untuk terus beratur malah ada yang sanggup hadir seawal 6.30 pagi demi merebut peluang menikmati kemasukan percuma ke Zoo Melaka sempena Hari Kebangsaan.

Tinjauan Melaka Hari Ini sekitar jam 9 pagi mendapati pengunjung sudah memenuhi laluan masuk Zoo Melaka dengan kebanyakannya hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan cuti umum sempena sambutan Kemerdekaan.

Meskipun terpaksa menunggu dalam cuaca panas keadaan itu tidak menghalang keterujaan pengunjung yang sabar menanti giliran sekali gus memperlihatkan sambutan amat positif terhadap inisiatif istimewa Kerajaan Negeri.

Pengurus Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, kehadiran pengunjung seawal pagi menunjukkan kemasukan percuma yang ditawarkan mendapat sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan keluarga yang mahu mengisi cuti bersama anak-anak.

Katanya, suasana di Zoo Melaka mula meriah sejak awal pagi apabila orang ramai hadir bukan sahaja dari Melaka malah dari negeri-negeri lain turut mengambil kesempatan berkunjung ke destinasi berkenaan sempena cuti umum itu.

“Walaupun bahang matahari semakin terasa apabila pagi beranjak ke tengah hari, pengunjung tetap sabar beratur dan menunggu giliran bersama ahli keluarga masing-masing.

“Peluang masuk secara percuma bukan sahaja memberikan penjimatan kepada pengunjung, malah menjadi kesempatan untuk mereka meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang dalam suasana cuti sambutan kemerdekaan.

“Jadi kita memang yakin kehadiran pengunjung ke Zoo Melaka akan melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini, melebihi 10,000 pengunjung sehingga jam 4 petang nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Zoo Melaka, di sini ,hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, sambutan positif itu turut membuktikan Zoo Melaka kekal menjadi antara destinasi pilihan orang ramai, khususnya ketika musim cuti sekolah selain inisiatif sedemikian memberi peluang kepada lebih ramai rakyat dan pelancong menikmati tarikan pelancongan negeri.

Untuk rekod, inisiatif kemasukan percuma itu bukan hanya ditawarkan di Zoo Melaka, sebaliknya turut membabitkan 12 lagi lokasi pelancongan negeri sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat dan pelancong untuk meneroka pelbagai tarikan menarik di Melaka.

Tawaran inisiatif kemasukan percuma oleh Kerajaan Negeri itu merupakan antara manifestasi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) apabila rakyat dan pelancong diberi peluang menikmati tarikan pelancongan negeri tanpa dikenakan bayaran kemasukan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post NENEK BERTONGKAT, ATUK BERKERUSI RODA GAGAH RAI MERDEKA
Next post MASUK PERCUMA 31 OGOS: 18,318 PENGUNJUNG MERIAHKAN ZOO MELAKA