NENEK BERTONGKAT, ATUK BERKERUSI RODA GAGAH RAI MERDEKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 31 Ogos – Langkah mungkin perlahan, namun semangat merdeka pasangan warga emas dari Bukit Katil ini tetap membara apabila mereka bertongkat dan berkerusi roda demi menyaksikan cucu tersayang mengambil bahagian dalam perbarisan Hari Kebangsaan.

Kehadiran Zainah Zakaria, 80, bersama suaminya, Abdul Ghafur Mustapha, adalah bagi memberikan sokongan kepada cucu mereka, Nur Alisha Meldina Jady Mahajad, 17, yang menyertai perbarisan dengan bermain dram bersama kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka.

Zainah berkata, biarpun kakinya sakit manakala suaminya perlu bergantung kepada kerusi roda, mereka tetap gagahkan diri hadir kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat cucu mereka beraksi dalam acara penuh bersejarah itu.

“Walaupun kaki saya sakit dan suami perlu menggunakan kerusi roda, kami tetap datang kerana mahu melihat cucu beraksi dalam perbarisan.

“Apabila dapat melihat cucu bermain dram dan mengambil bahagian dalam sambutan ini, rasa penat dan sakit itu hilang. Ini kenangan yang cukup bermakna buat kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jalan Persiaran Pantai Klebang, di sini.

Menurutnya, semangat untuk meraikan kemerdekaan bersama generasi muda juga menjadi dorongan untuk mereka hadir walaupun perlu berdepan keterbatasan fizikal.

Katanya, suasana sambutan Hari Kebangsaan kini juga jauh lebih meriah berbanding dahulu dengan pelbagai pengisian yang berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai kaum.

“Dulu sambutan tidak semeriah sekarang, tetapi semangat kemerdekaan tetap sama.

“Saya harap perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa terus kukuh dan rakyat terus hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Kegigihan pasangan warga emas itu turut mendapat perhatian apabila Zainah dibantu petugas sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) menerusi perkhidmatan buggy yang disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung.

Perkhidmatan berkenaan turut membantu golongan yang memerlukan termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung sepanjang sambutan berlangsung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post SEMBILAN BAYI MERDEKA LAHIR DI HOSPITAL MELAKA
Next post MASUK PERCUMA 31 OGOS: PENGUNJUNG SERBU ZOO MELAKA SEAWAL 6.30 PAGI