
SEMBILAN BAYI MERDEKA LAHIR DI HOSPITAL MELAKA
BANDARAYA MELAKA 31 Ogos – Tangisan bayi Merdeka memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 apabila sembilan bayi dilahirkan di Hospital Melaka bermula tengah malam tadi sehingga jam 10 pagi hari ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu seramai empat bayi lelaki manakala lima lagi bayi perempuan dengan kelahiran pertama direkodkan pada jam 12.57 tengah malam, sekali gus menjadikan mereka antara bayi istimewa yang menyambut Hari Kebangsaan pada tahun 2026.
Katanya, sembilan kelahiran tersebut direkodkan di Hospital Melaka setakat jam 10 pagi dan kelahiran pada tarikh penuh bermakna itu pastinya menjadi kenangan istimewa buat ibu bapa bayi tersebut kerana anak mereka akan berkongsi tarikh lahir dengan sambutan Hari Kebangsaan negara.
“Setakat jam 10 pagi tadi seramai sembilan bayi Merdeka dilahirkan di Hospital Melaka iaitu empat bayi lelaki dan lima bayi perempuan dengan kelahiran pertama direkodkan pada jam 12.57 tengah malam manakala kiraan bayi Merdeka dibuat bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 31 Ogos.
“Kelahiran sembilan bayi ini turut menambah warna kepada sambutan Hari Kebangsaan di negeri ini apabila tangisan pertama mereka bergema ketika rakyat lain meraikan ulang tahun kemerdekaan menjadikan 31 Ogos tahun ini tarikh yang pastinya akan terus terpahat dalam ingatan keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bayi Merdeka Melaka 2026 di Hospital Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Isteri Ketua Menteri Melaka Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Hospital Melaka Dr. Shahrum Arshad, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, jumlah sebenar bayi Merdeka yang dilahirkan di negeri ini hanya dapat diketahui selepas mengambil kira kelahiran di empat hospital swasta yang turut menyediakan perkhidmatan bersalin.
“Hospital Melaka merupakan satu-satunya hospital kerajaan di negeri ini yang menawarkan perkhidmatan kepakaran obstetrik dan ginekologi.
“Hospital Melaka turut menerima pesakit dari kawasan berhampiran termasuk Johor dan Negeri Sembilan justeru jumlah kelahiran yang direkodkan di sini bukan hanya melibatkan ibu dari Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


