CUTI HARI KEBANGSAAN, ATUK BAWA CUCU JEJAK SEJARAH

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MERLIMAU 31 Ogos – Cuti Hari Kebangsaan dimanfaatkan Tajudin Sidek, 62, dengan cara tersendiri apabila membawa dua cucunya mengunjungi Galeri Demang Abdul Ghani bagi mendekatkan mereka dengan sejarah bangsa.

Dua cucunya, Wan Muhammad Zafran Wan Mohd Sufian, 8, dan Wan Nurul Iman, 15, dibawa ke galeri berkenaan bagi memanfaatkan kemasukan percuma ke muzium dan galeri terpilih sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026.

Menurut Tajudin, kunjungan itu penting bagi memberi pendedahan awal kepada cucunya mengenai sejarah masyarakat Melayu terdahulu, selain membantu mereka memahami bahawa bangsa Melayu mempunyai sejarah dan kegemilangan tersendiri.

Katanya, generasi muda hari ini lebih banyak terdedah kepada telefon pintar, media sosial dan hiburan sehingga sejarah mudah diketepikan sekiranya tidak diperkenalkan sendiri kepada mereka.

“Kalau generasi sekarang, mereka lebih banyak tahu tentang telefon, media sosial dan hiburan. Jadi kita bawa anak cucu ini supaya mereka kenal sejarah orang dahulu dan tahu keagungan bangsa Melayu.

“Bila mereka tengok sendiri, mereka akan faham bahawa ini bangsa aku. Bangsa aku dahulu ada orang yang bijak pandai, ada pangkat, ada kuasa dan ada pemerintahan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di galeri berkenaan, hari ini.

Bapa kepada tiga anak dan datuk kepada empat cucu itu berkata, pengalaman melihat sendiri bahan sejarah dan tinggalan lama memberi pemahaman berbeza berbanding hanya menerima maklumat menerusi media sosial.

“Kalau melalui media sosial, macam-macam cerita kita boleh jumpa kerana sesiapa sahaja boleh buat dan sebarkan. Sebab itu lebih elok datang sendiri, tengok dengan mata dan tanya orang yang tahu.

“Bila mereka sudah tengok sendiri, nanti mereka boleh cerita pula kepada kawan-kawan bahawa mereka pernah datang ke tempat ini dan pernah melihat tinggalan sejarah,” katanya.

Pada masa sama, Tajudin turut menyambut baik inisiatif kemasukan percuma ke muzium dan galeri sempena Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 yang disifatkannya sebagai peluang terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak mendekati sejarah.

Katanya, pendedahan seperti itu perlu dilakukan secara berterusan kerana anak-anak mungkin tidak akan memilih untuk mengunjungi muzium secara sendiri jika tidak diajak dan dibimbing oleh orang dewasa.

“Jadi kita sebagai orang tua kena bawa mereka. Biar mereka tengok, faham dan kenal sejarah supaya apabila mereka besar nanti, mereka tahu dari mana asal-usul bangsa mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post MASUK PERCUMA 31 OGOS: 18,318 PENGUNJUNG MERIAHKAN ZOO MELAKA
Next post 2,826 PENGUNJUNG PILIH TEROKAI MUZIUM