2,826 PENGUNJUNG PILIH TEROKAI MUZIUM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

JASIN 31 Ogos – Seramai 2,826 pengunjung direkodkan mengunjungi enam muzium dan galeri di bawah seliaan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sempena kemasukan percuma Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, sambutan itu menunjukkan masyarakat semakin terbuka untuk menjadikan muzium sebagai destinasi pembelajaran dan pengalaman, bukan sekadar tempat menyimpan serta melihat artifak.

Menurutnya, inisiatif kemasukan percuma itu antara pendekatan untuk mendekatkan institusi berkenaan dengan masyarakat, khususnya keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai.

“Tidak semua orang berkemampuan mengunjungi muzium, terutama mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai. Jadi, kemasukan percuma ini memberi peluang kepada mereka untuk meneroka muzium,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, sambutan paling ketara dapat dilihat di muzium sekitar Banda Hilir apabila ramai keluarga mengambil peluang membawa anak-anak berkunjung sempena cuti persekolahan.

“Pengalaman secara langsung di muzium penting terutama kepada kanak-kanak dan generasi muda kerana mereka dapat memahami sejarah serta budaya yang membentuk identiti masyarakat hari ini.

“Pendekatan ini perlu diteruskan secara kreatif bagi memastikan muzium kekal relevan sebagai ruang pembelajaran dan interaksi masyarakat, selain membantu mengubah persepsi bahawa muzium hanya tempat menyimpan artifak.

“Sekiranya sambutan dan keberkesanan inisiatif kemasukan percuma terus menunjukkan impak positif, PERZIM akan mempertimbangkan untuk meneruskannya sempena program atau sambutan tertentu pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post CUTI HARI KEBANGSAAN, ATUK BAWA CUCU JEJAK SEJARAH
Next post HAMPIR 3,500 NAIK MENARA TAMING SARI PERCUMA