
HAMPIR 3,500 NAIK MENARA TAMING SARI PERCUMA
BANDA HILIR 31 Ogos – Hampir 3,500 pengunjung mengambil kesempatan menikmati kemasukan percuma ke Menara Taming Sari sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan berkata, ‘hadiah’ istimewa daripada Kerajaan Negeri itu mendapat sambutan menggalakkan apabila orang ramai daripada pelbagai lapisan usia hadir bersama keluarga seawal pagi.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat Melaka menikmati produk pelancongan ikonik negeri secara percuma, malah turut menarik kehadiran pengunjung dari luar Melaka.
“Kemasukan percuma ini bukan sahaja dinikmati rakyat Melaka, tetapi juga pengunjung dan pelancong dari luar negeri ini.
“Secara tidak langsung, hadiah istimewa yang diberikan ini turut merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, khususnya sempena cuti umum Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini seawal pagi mendapati orang ramai mula beratur di Menara Taming Sari bagi merebut peluang menikmati kemasukan percuma yang ditawarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Urusan kemasukan pengunjung juga berjalan lancar dengan bantuan petugas Menara Taming Sari dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan mengawal pergerakan serta membantu kelancaran operasi.
Selain menikmati panorama bandar raya bersejarah dari ketinggian kira-kira 80 meter, pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman menaiki dek berputar 360 darjah yang menjadi antara keistimewaan Menara Taming Sari.
Inisiatif kemasukan percuma itu merupakan antara penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat sempena Hari Kebangsaan, selain memberi peluang kepada orang ramai menikmati produk pelancongan negeri tanpa perlu mengeluarkan kos.
Ia merupakan tanda terima kasih di atas sokongan yang diterima sektor pelancongan Melaka yang terus menjadi antara destinasi pelancongan saban tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

