
MELAKA UMUM ‘HADIAH’ UNTUK ABANG RIDER
TANJUNG BIDARA 1 September – Lebih 3,000 penghantar p-hailing di Melaka bakal menerima manfaat subsidi penyelenggaraan motosikal menerusi inisiatif Kerajaan Negeri bagi meringankan beban golongan yang menjadikan perkhidmatan penghantaran sebagai sumber pendapatan keluarga.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan bagi insentif khas itu telah diluluskan, manakala mekanisme pelaksanaannya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, menerusi inisiatif itu, Kerajaan Negeri bercadang menyediakan sekurang-kurangnya sebuah bengkel di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan penghantar p-hailing mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan motosikal pada kadar lebih rendah.
“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melantik bengkel-bengkel bagi penyelenggaraan motosikal dengan memberikan diskaun atau subsidi kepada semua penunggang p-hailing.
“Inisiatif ini selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang bukan sahaja memberi perhatian kepada masyarakat di kampung, malah menelusuri golongan yang terlibat dalam sektor ekonomi baharu supaya kita sama-sama dapat membina Melaka yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyelami denyut nadi kehidupan golongan p-hailing di sekitar Masjid Tanah, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, subsidi berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan motosikal dan kadar subsidi yang diberikan masih dalam penelitian.
“Mengambil contoh kadar servis RM150, kita mungkin akan berikan subsidi 20 peratus atau 30 peratus, di mana kita sedang mencari kaedah yang paling sesuai untuk membantu mereka.
“Subsidi ini bukan untuk ‘overhaul’, tetapi lebih kepada penyelenggaraan biasa seperti servis supaya sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut akan meneliti kaedah memperluaskan perlindungan dan pencaruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan p-hailing sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebajikan mereka.
Katanya, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan golongan berkenaan yang turut memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi digital mendapat perlindungan sewajarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


