
TOK RAUF JADI ‘ABANG RIDER’, SELAMI JERIH PERIH CARI REZEKI
TANJUNG BIDARA 1 September – Setiap kali enjin motosikal dihidupkan dan pesanan diterima, seorang ‘Abang Rider’ bukan sekadar menghantar makanan atau barangan kepada pelanggan, tetapi membawa bersama harapan untuk menyediakan keperluan keluarga di rumah.
Realiti kehidupan pekerja gig itu cuba diselami Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh apabila beliau sendiri mengambil inisiatif turun pandang menjadi penghantar p-hailing, daripada menerima pesanan, mengambil barangan sehinggalah menghantarnya ke rumah pelanggan.
Pengalaman singkat itu memberi gambaran kepada Ketua Menteri mengenai kesungguhan golongan berkenaan mencari rezeki dalam dunia digital, selain memahami cabaran yang mereka hadapi dalam memastikan pendapatan harian terus mengalir demi keluarga.
Ab Rauf berkata, pengalaman singkat itu memberi gambaran sebenar kesungguhan golongan berkenaan mencari rezeki dalam era dunia digital, selain memahami cabaran yang mereka hadapi dalam memastikan pendapatan harian terus mengalir demi keluarga.
“Daripada pengalaman ini, saya dapat menghayati kehidupan seorang ‘rider’ yang bersungguh-sungguh bekerja mencari rezeki tanpa mengira hujan dan panas demi menyara anak-anak dan keluarga mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyelami denyut nadi kehidupan golongan p-hailing di sekitar Masjid Tanah, hari ini.
Pada sesi khas itu, Ketua Menteri sendiri telah membuat kejutan kepada rakyat dengan menghantar sendiri pesanan yang diterima di sekitar Kampung Pengkalan Balak dan Masjid Tanah Baru.
Ab Rauf berkata, berdasarkan pengalaman itu, beliau mengakui peranan mereka yang mencari rezeki dalam p-hailing tidak boleh dipandang ringan kerana mereka menjadi antara penggerak penting dalam memudahkan urusan masyarakat, khususnya dalam mendapatkan makanan, barangan dan perkhidmatan secara dalam talian.
Katanya, sumbangan golongan p-hailing turut memberi impak kepada perkembangan ekonomi negara menerusi ekosistem ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Saya melihat mereka ini perlu diberi perhatian daripada pelbagai sudut kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi dan membantu memudahkan urusan masyarakat melalui kaedah pembelian dalam talian.
“Saya amat menghargai peranan yang dimainkan mereka yang mengambil tanggungjawab untuk bekerja dan mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan terus melihat kaedah bersesuaian untuk membantu meringankan beban golongan penghantar p-hailing, khususnya dalam memastikan kebajikan serta kelangsungan sumber pendapatan mereka terus diberi perhatian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

