10 MOTOSIKAL MENANTI ‘ABANG RIDER’ DI KARNIVAL ANAK MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

LENDU 1 September – Sebanyak 10 motosikal bakal menjadi antara hadiah istimewa yang ditawarkan sempena pertemuan khas penghantar p-hailing pada Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, 4 September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hadiah itu berserta pelbagai hadiah lain ditawarkan menerusi cabutan bertuah khas pada himpunan berkenaan sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam menggerakkan ekonomi digital negeri.

“Jadi, saya jemput semua penghantar p-hailing untuk hadir pada pertemuan khas 4 September di Karnival Anak Muda di MITC, Ayer Keroh.

“Selain 10 buah motosikal, kita juga menyediakan topi keledar edisi terhad Ketua Menteri yang turut menjadi hadiah menarik dalam cabutan bertuah itu.

“Cuma syaratnya, mereka perlu mendaftar terlebih dahulu. Jadi saya harap semua p-hailing boleh datang dan mendapat rezeki daripada acara khas yang dianjurkan Kerajaan Negeri sebagai penghargaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyelami denyut nadi kehidupan golongan p-hailing di sekitar Masjid Tanah, hari ini.

Ab Rauf berkata, pertemuan itu menjadi antara ruang untuk Kerajaan Negeri mendekati golongan p-hailing dengan lebih dekat selain mendengar sendiri keperluan serta cabaran yang mereka hadapi dalam mencari rezeki.

Katanya, golongan berkenaan kini menjadi sebahagian penting dalam ekosistem ekonomi digital dan memainkan peranan besar memudahkan urusan masyarakat mendapatkan makanan serta barangan melalui platform dalam talian.

Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 September di MITC, Ayer Keroh, dengan pelbagai pengisian yang memberi tumpuan kepada golongan muda.

Antara tarikan utama karnival itu ialah penyediaan 20,000 helai t-shirt istimewa secara percuma kepada peserta dan pengunjung yang mendaftar, selain 2,000 helmet eksklusif yang ditawarkan menerusi cabutan nombor bertuah sepanjang tiga hari penganjuran.

Penganjuran karnival berkenaan turut menjadi platform menghimpunkan golongan muda menerusi pelbagai aktiviti, termasuk himpunan motosikal, selain menyediakan ruang untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti serta membuka peluang kerjaya untuk anak muda Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

275
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM ‘HADIAH’ UNTUK ABANG RIDER
Next post ‘KAMI RASA DIHARGAI, TOK RAUF SENDIRI RASAI SUSAH PAYAH KAMI’