‘KAMI RASA DIHARGAI, TOK RAUF SENDIRI RASAI SUSAH PAYAH KAMI’

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 1 September – ‘Kami rasa dihargai’. Itu luahan penghantar p-hailing selepas Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri turun merasai pengalaman mengambil pesanan dan menghantar makanan kepada pelanggan, hari ini.

Bagi mereka, tindakan itu bukan sekadar kejutan, malah memberi makna besar kerana buat pertama kali seorang pemimpin negeri merasai sendiri cabaran pekerjaan yang menjadi punca rezeki mereka untuk menyara keluarga.

Muhammad Akmal Mustapa Kamar, 37, yang sudah lima tahun bekerja sebagai penghantar p-hailing di Masjid Tanah berkata, pengalaman melihat sendiri Ketua Menteri bersama mereka bukan sesuatu yang disangka-sangka, malah membuatkan dirinya berasa dihargai.

“Kami sangat terkejut dan tak sangka disantuni sendiri Ketua Menteri yang mengambil berat susah payah kami, termasuk risiko bekerja di jalan raya dalam keadaan panas dan hujan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Muhammad Akmal, pengumuman mengenai inisiatif subsidi penyelenggaraan motosikal yang bakal diperkenalkan Kerajaan Negeri juga disifatkan sangat membantu golongan p-hailing yang bergantung sepenuhnya kepada motosikal untuk mencari pendapatan.

Katanya, kos penyelenggaraan motosikal lazimnya mencecah kira-kira RM150 bagi setiap servis, bergantung kepada jenis motosikal dan keperluan penyelenggaraan.

“Dengan adanya subsidi, harga yang perlu kami bayar dapat dikurangkan dan ia benar-benar memberi manfaat besar kepada kami. Ini bermaksud kepimpinan negeri ambil berat akan situasi kami sebagai p-hailing,” katanya.

Sementara itu, Syamsul Kamal Sidek, 42, yang sudah lebih tujuh tahun dalam industri p-hailing berkata, inisiatif menyediakan bengkel dengan subsidi penyelenggaraan mampu mengurangkan bebannya dan penghantar makanan yang bergantung kepada motosikal.

Menurutnya, penghantar makanan berdepan kos penyelenggaraan yang tinggi kerana penggunaan motosikal yang kerap, termasuk keperluan menukar minyak hitam, rantai dan tayar.

“Apa yang Ketua Menteri berikan kepada kami memang banyak manfaat. Bengkel yang disediakan boleh meringankan beban rider untuk membaiki motosikal kerana kami menggunakan motosikal setiap hari.

“Seminggu sekali pun ada yang perlu tukar minyak hitam dan kalau ada masalah tayar atau rantai, semua itu memerlukan kos. Biasanya servis dalam RM100 hingga RM150, manakala sebulan boleh mencecah kira-kira RM350,” katanya.

Syamsul berkata, cabaran utama sebagai penghantar makanan ialah pendapatan yang tidak menentu kerana jumlah pesanan bergantung kepada keadaan dan permintaan pelanggan.

“Kalau ada pelajar institusi pengajian tinggi, adalah rezeki lebih. Tetapi kalau pelajar bercuti, pesanan memang kurang dan pendapatan menjadi tidak menentu.

“Kadang-kadang bekerja dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam pun belum tentu dapat RM100. Tambahan pula jumlah rider semakin ramai sekarang dan itu antara cabaran kami,” katanya.

Bagaimanapun, bapa tiga anak itu menyifatkan kesediaan Ketua Menteri untuk turun sendiri menjadi penghantar makanan sebagai satu pengalaman yang jarang berlaku dan memberi makna besar kepada golongan p-hailing.

“Saya memang gembira sebab bukan semua orang boleh buat macam Ketua Menteri, naik motosikal, ambil makanan dan hantar ke rumah pelanggan. Bagi kami sebagai rider, tindakan itu membuatkan kami rasa kerja yang kami lakukan ini dihargai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post 10 MOTOSIKAL MENANTI ‘ABANG RIDER’ DI KARNIVAL ANAK MUDA