
WRUR TABOH NANING: BINA TEMBOK KURANGKAN RISIKO BANJIR MASJID DAHARIYAH
TABOH NANING 3 September – Pembinaan tembok tambahan antara cadangan dikemukakan oleh penduduk bagi mengatasi banjir kerap melanda Masjid Dahariyah Kampung Brisu.
Pengerusi Masjid Dahariyah Mohd Zaidi Tahir berkata, meskipun terletak di kawasan kampung masjid berkenaan memiliki nilai sejarah tersendiri dan usianya kini juga sudah mencapai 104 tahun.
Mengulas lanjut Mohd Zaidi berkata, berikutan itu pihaknya turut menjaga keaslian struktur sedia ada dan masjid berkenaan juga sudah diwartakan sebagai bangunan warisan.
“Pada kebiasaan banjir hanya menenggelamkan kawasan luar masjid, namun pernah juga berlaku air masuk hingga ke ruang solat menyebabkan karpet dan banyak barangan elektrik rosak. Setiap kali banjir kami menanggung kerugian dianggarkan lebih RM40,000 hingga RM50,000.
“Kami juga ada membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan tandas yang mengalami kerosakan berikutan kedudukannya yang amat hampir dengan tebing sungai. Jika cuma mengharapkan sumbangan dan kutipan Jumaat memang kami kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tinjuan turun padang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, semalam.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Brisu, Md Dali Bujang berkata pembinaan tembok sepanjang kira-kira 150 meter dengan ketinggian dua kaki atau 0.6 meter dijangka mampu mengurangkan risiko banjir melanda masjid berkenaan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian banjir disebabkan limpahan dari Sungai Brisu ke kawasan sawah berhampiran yang kemudian mengalir dan membanjiri masjid berkenaan.
“Kami memberikan cadangan untuk membina tembok bagi mengelakkan air mengalir terus ke dalam kawasan masjid. Tetapi terpulang kepada kajian yang akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


