
WRUR TABOH NANING: JAMBATAN SEMPIT AKAN DIBESARKAN, LANCAR AKSES 15 RUMAH
TABOH NANING 2 September – Kira-kira 15 keluarga di Kampung Taboh Naning bakal menikmati akses lebih selamat apabila jambatan sempit yang menjadi laluan utama ke kediaman mereka dicadang untuk dibesarkan bagi memudahkan kemasukan jentera kecemasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, perkara itu antara aduan yang diterima daripada penduduk menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.
Menurut beliau, jambatan sedia ada yang telah lama dibina itu terlalu sempit, malah pernah menyebabkan jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan berkenaan ketika berlaku kebakaran.
“Susulan aduan itu, saya mengadakan lawatan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
“Antara cadangan kita adalah membesarkan jambatan sedia ada kira-kira tiga hingga empat kaki bagi memastikan ia selamat dilalui bukan sahaja penduduk, malah jentera kecemasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke jambatan Kampung Taboh Naning, di sini, hari ini.
Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, cadangan pembesaran jambatan itu bagaimanapun perlu mengambil kira kedudukan saluran paip gas milik syarikat minyak dan gas serta saluran pembetung yang berada berhampiran kawasan berkenaan.
“Jadi, kita perlu melihat kaedah terbaik supaya kerja pembesaran jambatan ini tidak menjejaskan infrastruktur sedia ada.
“Antara kaedah yang sedang dipertimbangkan adalah mendapatkan laluan daripada pemilik tanah berhampiran bagi membolehkan kerja pembesaran jambatan dilaksanakan oleh JPS,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama JPS dan beberapa kerja awal termasuk kajian serta perancangan projek sedang dilaksanakan.
“Ini merupakan lawatan kali ketiga dan saya sudah maklumkan perkara ini kepada JPS. Mereka juga sudah menjalankan kerja-kerja awal berkaitan perkara ini. Insya-Allah, saya jangkakan kerja untuk membesarkan jambatan ini boleh dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


