
MUZIUM JADI ‘BUKU SEJARAH’ KELUARGA
BEMBAN 2 September – Daripada sekadar membaca sejarah dalam buku, dua keluarga memilih untuk membawa anak-anak menyaksikan sendiri tinggalan kehidupan masa lalu ketika berkunjung ke Muzium Pertanian, Jasin.
Bagi Yee Wen Kong, 42, dari Durian Tunggal, pengalaman melihat sendiri peralatan pertanian lama dapat membantu anak-anak memahami perkara yang dipelajari menerusi buku teks dengan lebih jelas.
“Kalau belajar menerusi buku sahaja, mereka tidak tahu, jadi kita kena bawa mereka datang muzium dan lihat sendiri peralatan tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Wen Kong berkata, kemasukan percuma sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 turut memberi peluang kepada keluarganya mengunjungi beberapa lokasi lain, termasuk Mini Zoo Jasin dan Taman Ekstrem Tasik Chinchin (TETC).

Sementara itu, Mohd Afandi Bahurudin, 44, dari Telok Mas berkata, kunjungan bersama isteri dan anak-anak memberi kesempatan untuk mengenali asal usul serta menghayati tinggalan nenek moyang yang dipamerkan.
“Saya bawa anak dan isteri ke Muzium Pertanian ini supaya kita dapat mempelajari asal usul kita, pada masa sama menghayati apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita.
“Saya dan keluarga turut mengunjungi Muzium Rakyat dan Muzium Belia sebelum ke Muzium Pertanian kerana kemasukan percuma ini peluang yang perlu dimanfaatkan.
“Wajar inisiatif begini diteruskan pada masa akan datang kerana muzium bukan sahaja menjadi tempat menyimpan sejarah, malah membantu generasi baharu memahami kehidupan masa lalu dan menghargai warisan yang ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

