
MAIM SAMBUNG BANTUAN, PASTIKAN KEBAJIKAN SEMBILAN BERADIK TERBELA
JASIN 2 September – Selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa yang menjadi tempat bergantung, sembilan beradik berusia antara tiga hingga 26 tahun kini mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas keluarga berkenaan terus terbela.
Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM, Mohd Nasir Wahab berkata, pihaknya segera mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian untuk disalurkan kepada keluarga berkenaan selepas bapa mereka yang juga seorang mualaf meninggal dunia pada 23 Ogos lalu, manakala ibu mereka terlebih dahulu meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Menurutnya, arwah bapa sebelum ini menerima beberapa bentuk bantuan melalui Bahagian Balai Islam sejak 2024 dengan jumlah keseluruhan RM1,030 sebulan.
“Arwah sebelum ini merupakan penerima bantuan mualaf dan antara bantuan bulanan yang diterima termasuk bantuan makanan bulanan, bantuan sakit kronik, bantuan anak sekolah serta bantuan tunai mualaf.
“Bagaimanapun, apabila arwah meninggal dunia, bantuan di bawah kategori mualaf berkenaan tamat kerana anak-anak arwah bukan mualaf.
“Namun, hasil perbincangan yang dilakukan, kita telah mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu menampung keperluan sembilan beradik ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, Bahagian Agihan Zakat MAIM akan mengambil alih urusan bantuan keluarga berkenaan supaya keperluan asas mereka terus mendapat perhatian.
“Selepas ini, Bahagian Agihan Zakat MAIM akan menyambung bantuan kepada keluarga ini termasuk membantu membayar sewa rumah yang mereka diami.
“Ini sebahagian daripada usaha MAIM untuk memastikan golongan yang memerlukan terus disantuni mengikut keperluan dan keadaan mereka,” katanya.
Mohd Nasir berkata, MAIM sentiasa prihatin terhadap kebajikan golongan yang berdepan kesusahan, khususnya keluarga yang kehilangan tempat bergantung.
“Kita akan berusaha memastikan keluarga ini mendapat sokongan yang sewajarnya dan bantuan yang disalurkan benar-benar dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


