
MAIM TAWAR SEWA TUJUH PREMIS WAKAF DI JONKER WALK SERENDAH RM700
BANDA HILIR 3 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menawarkan sewaan premis wakaf sekitar Jonker Walk dengan kadar serendah RM700 sahaja sebulan.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, sebanyak tujuh daripada 32 premis yang masih kosong dan kini sedia untuk disewakan pada kadar rendah, berbaloi dan berpatutan.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata premis berkenaan sebelum ini mengalami kerosakan dan lima daripada tujuh bangunan terbabit berada dalam keadaan agak teruk sehingga ditumbuhi pokok dan semak sebelum kerja pembersihan dilaksanakan baru-baru ini.
“Daripada 32 premis wakaf milik MAIM sebanyak 25 sudah disewakan manakala tujuh lagi belum berjaya disewakan kerana berada dalam keadaan rosak dan kerja pembersihan dan penyelenggaraan sudah dilaksanakan dan kini sedia untuk disewakan.
“Pihak yang berminat boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Hartanah MAIM, khususnya Unit Sewaan, untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tinjauan keadaan premis sebelum mengemukakan tawaran,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Lawatan Tapak MAIM bersama Wakil Pejabat Ketua Menteri (CMO) ke Premis Wakaf MAIM di Jonker Walk, Jalan Hang Kasturi, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Melaka merangkap wakil CMO Yong Fun Juan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, MAIM melaksanakan kerja-kerja pembersihan membabitkan lima premis itu menelan kos kira-kira RM42,000.
Tambahnya, kadar sewaan tujuh premis terbabit ditetapkan berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta iaitu antara RM700 hingga RM2,600 sebulan mengikut lokasi dan keluasan premis.
Ujarnya, premis tersebut terletak dalam kawasan warisan dan disebabkan itu kos untuk membaiki premis bukan seperti bangunan biasa kerana terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan aspek konservasi.
“Sebab itu kita mahu cari pendekatan menang-menang supaya penyewa boleh menjalankan perniagaan dengan baik dan pada masa sama aset wakaf ini terus dimanfaatkan.
“Alhamdulillah, bagaimanapun MAIM sudah menerima tawaran daripada beberapa pihak yang berminat namun kita masih meneliti tawaran terbaik berdasarkan kesesuaian perniagaan serta kemampuan penyewa melaksanakan kerja pembaikan.
“Kita boleh berbincang mengenai kaedah sewaan yang lebih fleksibel seperti pengecualian sewa selama tiga hingga enam bulan serta pengurangan sewa sehingga tempoh tiga tahun namun mereka perlu menanggung kos pembaikan dan tempoh sewaan juga boleh diberikan untuk jangka masa panjang bagi membolehkan penyewa mendapatkan semula modal yang dilaburkan bagi kerja-kerja baik pulih sebelum memperoleh keuntungan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


