
MELAKA BERPOTENSI JADI GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA ZON SELATAN
BANDARAYA MELAKA 3 September – Melaka berpotensi mencipta sejarah sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Zon Selatan Semenanjung Malaysia sekiranya berjaya memperoleh pengiktirafan berkenaan pada November ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha mendapatkan pengiktirafan itu kini diperkukuh menerusi persediaan menyeluruh melibatkan aspek geologi, pemuliharaan, tadbir urus, pendidikan, komuniti dan pembangunan geopelancongan.
Menurut beliau, Aspiring Melaka Geopark merangkumi 29 geotapak berpotensi yang melibatkan tiga daerah dan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
“Jika aspirasi ini berjaya direalisasikan, Melaka berpotensi menjadi Geopark Kebangsaan pertama di Zon Selatan Semenanjung Malaysia dan yang ke-12 di Malaysia.
“Pencapaian ini bukan sahaja akan melakar satu lagi sejarah penting buat negeri Melaka, malah memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi yang menggabungkan keunikan geowarisan, biodiversiti dan warisan budaya dalam satu landskap pembangunan yang lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Timbalan Pengarah, Jabatan Mineral & Geosains Negeri Sembilan/ Melaka; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Seksyen Rancangan Malaysia, Dasar Dan Statistik Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Faizah Abd Rahman @ Sulaiman serta lain-lain kenamaan.
Abdul Razak berkata, kekuatan geologi semata-mata tidak mencukupi dalam membangunkan sesebuah geopark, sebaliknya ia perlu disokong menerusi tadbir urus yang baik serta penglibatan pelbagai pihak secara bersepadu.
Katanya, elemen berkenaan merangkumi pemuliharaan, pendidikan awam, penglibatan komuniti, pembangunan geopelancongan, promosi, dokumentasi serta kerjasama strategik antara agensi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan Aspiring Melaka Geopark diselaraskan UPEN dan diperkukuh menerusi empat jawatankuasa kerja merangkumi aspek Teknikal dan Saintifik, Perancangan dan Pembangunan, Promosi dan Geopelancongan serta Pemerkasaan Komuniti dan Kesedaran Awam.
“Justeru, kejayaan agenda ini amat bergantung kepada kefahaman bersama, komitmen berterusan dan kesepaduan tindakan semua pihak bagi memastikan persediaan ke arah penilaian Geopark Kebangsaan pada November 2026 dapat diperkukuhkan,” katanya.
Abdul Razak berkata, sesi libat urus itu turut menjadi platform untuk penggiat industri pelancongan mendapatkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik yang boleh disesuaikan dengan hala tuju Aspiring Melaka Geopark.
Katanya, pengiktirafan Geopark Kebangsaan bukan sekadar mengejar status, malah menjadi instrumen penting memelihara khazanah alam semula jadi, memperkukuhkan identiti negeri dan menyokong pembangunan pelancongan yang lebih lestari serta berdaya saing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


