MELAKA SASAR SATU JABATAN, SATU PROJEK RKB MULAI TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 September – Setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dicadang menghasilkan sekurang-kurangnya satu projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) untuk dipertandingkan pada konvensyen bermula tahun hadapan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan budaya reformasi dan usaha memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan awam terus diperkasa secara berterusan, bukan hanya menerusi pertandingan tahunan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut menggalakkan setiap jabatan dan agensi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta mencari kaedah lebih cekap dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Bermula tahun hadapan kita cadangkan supaya setiap jabatan dan agensi mempunyai satu RKB yang akan dipertandingkan dalam konvensyen seperti yang dilaksanakan ini.

“Penambahbaikan menerusi RKB bukan sahaja memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri, tetapi membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan setiap jabatan dan agensi kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah serta kenamaan lain.

Salhah berkata, sebanyak 20 projek RKB dihasilkan menerusi penyertaan 14 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri pada konvensyen tahun ini, dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) muncul sebagai johan.

Katanya, jumlah projek berkenaan perlu terus ditingkatkan supaya lebih banyak pembaharuan dapat dilaksanakan bagi mempercepat dan memudahkan urusan rakyat.

“Daripada 20 projek yang dipertandingkan tahun ini, harapan saya sekurang-kurangnya separuh daripadanya mendapat pengiktirafan di peringkat lebih tinggi sama ada daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mahupun Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Tahun lepas kita mendapat anugerah daripada KSN bagi empat projek. Jadi, untuk 20 projek yang dipertandingkan kali ini, harapan saya kita dapat sasarkan lebih banyak pengiktirafan, mungkin sehingga separuh,” katanya.

Dalam pada itu, Salhah berkata, pencapaian pada konvensyen tahun ini menunjukkan usaha reformasi dan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan terus berkembang dalam kalangan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Terdahulu, MPJ diumumkan sebagai johan Konvensyen RKB Negeri Melaka 2026, diikuti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai naib johan dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di tempat ketiga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN 400 ORANG ASLI BUKIT PAYUNG DIBELA TANPA KIRA AGAMA
Next post MELAKA BERPOTENSI JADI GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA ZON SELATAN