TAK PERLU TUNGGU LAMA, ‘MELAKA RUMAHKU’ SIAP DALAM 3 BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TABOH NANING 3 September – Program Melaka Rumahku menetapkan tempoh tiga bulan sebagai tempoh masa bagi kerja baik pulih dan pembinaan baharu kediaman rakyat yang diluluskan menerusi program berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tempoh tiga bulan itu menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan penerima tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menikmati kediaman yang lebih selesa dan selamat sebaik sahaja permohonan diluluskan.

“Untuk kerja baik pulih, sebenarnya kita tidak melebihi tiga bulan dan bina baharu juga tidak lebih tiga bulan, bergantung kepada keadaan di tempat tersebut.

“Jadi kita memang ada SOP tiga bulan untuk baik pulih dan insya-Allah tiga bulan juga untuk bina baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyerahan Sumbangan Bina Baharu Rumah Kepada Abu Bakar Tahar, 87, menerusi Program Melaka Rumahku sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Kampung Melekek Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.

Rais berkata, sehingga kini Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah membelanjakan lebih RM8 juta bagi melaksanakan Program Melaka Rumahku, khususnya membantu rakyat yang berdepan masalah kediaman usang dan tidak lagi selamat didiami.

Katanya, pelaksanaan program itu kini diperluaskan ke setiap DUN bagi memastikan lebih ramai rakyat yang memerlukan dan mendiami rumah usang menerima manfaat.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana atas gagasan dan idea beliau inilah kita dapat mengembangkan lagi program ini di setiap DUN dan membantu rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT PAYUNG NIKMATI LIPUTAN 5G SETARA BANDAR
Next post KEMESRAAN, GELAGAT TOK RAUF CERIAKAN PESAKIT SARAF TERLANTAR