KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT PAYUNG NIKMATI LIPUTAN 5G SETARA BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TABOH NANING 3 September – Masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Payung turut menikmati kemudahan teknologi komunikasi berkelajuan tinggi menerusi liputan 5G yang setara dengan kawasan bandar, membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan komuniti berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyediaan kemudahan digital berkenaan penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli mendapat akses pendidikan dan teknologi yang sama seperti pelajar di kawasan bandar.

Menurut beliau, kemudahan asas dan infrastruktur yang disediakan kerajaan negeri turut memainkan peranan dalam membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda masyarakat Orang Asli untuk berjaya.

“Di Kampung Orang Asli Bukit Payung ini, liputan sudah sampai ke tahap 5G, sama seperti yang dinikmati di bandar-bandar besar.

“Kemudahan yang kita sediakan ini memberi peluang kepada anak-anak belajar dengan lebih selesa sehingga ramai yang berjaya dan mampu bersaing dengan anak-anak yang tinggal di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf berkata, pembangunan masyarakat Orang Asli tidak hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan digital, malah Kerajaan Negeri turut memastikan keperluan pendidikan dan kemudahan komuniti diberi perhatian.

Katanya, penyediaan kemudahan seperti Tabika KEMAS dan dewan orang ramai membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan masyarakat Orang Asli turut menikmati pembangunan yang sewajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post 6 KOMPUTER RIBA SOKONG PENDIDIKAN ANAK ORANG ASLI BUKIT PAYUNG
Next post TAK PERLU TUNGGU LAMA, ‘MELAKA RUMAHKU’ SIAP DALAM 3 BULAN