6 KOMPUTER RIBA SOKONG PENDIDIKAN ANAK ORANG ASLI BUKIT PAYUNG

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TABOH NANING 3 September – Enam anak Orang Asli Kampung Bukit Payung menerima komputer riba bernilai RM15,000 daripada Kerajaan Negeri Melaka sebagai galakan untuk mereka terus cemerlang dalam pendidikan dan tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memastikan anak-anak Orang Asli mendapat akses kepada kemudahan pendidikan dan teknologi yang sewajarnya.

Menurut beliau, latar belakang serta lokasi tempat tinggal tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Orang Asli untuk mencapai kejayaan.

“Saya mahu anak-anak di Bukit Payung tahu bahawa latar belakang dan tempat mereka membesar tidak pernah menentukan sejauh mana mereka boleh pergi.

“Kalau mereka mahu belajar, mahu berjaya dan mahu mengubah masa depan keluarga, kerajaan akan berdiri bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri pada masa sama terus memastikan masyarakat Orang Asli tidak tersisih daripada arus pembangunan melalui penyediaan kemudahan komuniti yang bersesuaian.

Katanya, sebuah Dewan Terbuka bernilai RM400,000 turut disediakan di Kampung Orang Asli Bukit Payung untuk kegunaan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti dan program.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post ‘KITA TURUN KE KAMPUNG-KAMPUNG BUKAN UNTUK BERSANDIWARA’
Next post KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT PAYUNG NIKMATI LIPUTAN 5G SETARA BANDAR