‘KITA TURUN KE KAMPUNG-KAMPUNG BUKAN UNTUK BERSANDIWARA’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TABOH NANING 3 September – Kepimpinan negeri turun ke kampung-kampung bukan sekadar untuk bersandiwara, sebaliknya memastikan setiap rungutan, rintihan dan cadangan rakyat diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan kerajaan negeri perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan rakyat.

Menurut beliau, beliau mahu seluruh jentera kerajaan bergerak mencari dan mendekati rakyat, bukannya menunggu masyarakat datang mendapatkan pemimpin atau kerajaan untuk menyampaikan permasalahan mereka.

“Kerajaan turun membawa tindakan, bukan turun bersandiwara. Saya pastikan segala rungutan, rintihan dan cadangan akan kita selesaikan dengan cara paling bijaksana.

“Inilah cara saya mahu kita bekerja. Bukan tunggu rakyat cari Ketua Menteri, tetapi biar seluruh jentera Kerajaan Negeri mencari rakyat untuk dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf berkata, kehadiran pemimpin dan jentera kerajaan secara langsung ke kampung-kampung membolehkan setiap permasalahan masyarakat dikenal pasti dengan lebih dekat sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

Katanya, pendekatan itu juga membolehkan kerajaan duduk semeja bersama rakyat bagi mendengar sendiri keperluan serta permasalahan yang dihadapi mereka.

“Kita datang untuk buktikan bahawa kita adalah kerajaan yang prihatin. Kita masuk ke kampung-kampung, duduk semeja dengan rakyat dan mendengar sendiri apa yang mereka perlukan.

“Inilah semangat gagasan Melaka Sayang Rakyat, iaitu kerajaan sentiasa berada dekat dengan rakyat dan memastikan setiap permasalahan mereka diberikan perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post RAKYAT SUSAH TIDAK DILUPAKAN, TABOH NANING RASAI KASIH SAYANG TOK RAUF
Next post 6 KOMPUTER RIBA SOKONG PENDIDIKAN ANAK ORANG ASLI BUKIT PAYUNG