LAMAN SANTAI SRI NANING JADI PUSAT AKTIVITI KOMUNITI, MERCU TANDA BAHARU TABOH NANING

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TABOH NANING 4 September – Laman Santai Sri Naning di Taman Sri Naning bakal menjadi lokasi tumpuan terbaharu bagi aktiviti komuniti dan perniagaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kemudahan itu dibina menggunakan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi berjumlah RM188,000.

“Kawasan ini adalah tapak kosong, iaitu rizab bagi kawasan komersial, kita bersihkan dan bina satu kemudahan yang memberikan faedah kepada orang ramai daripada terbiar begitu sahaja.

“Selain sesuai bagi penganjuran aktiviti komuniti kita juga menyediakan kemudahan permainan kanak-kanak, jadi ibu bapa juga boleh bawa anak-anak untuk bersantai di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Laman Santai Sri Naning, Taman Sri Naning yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Taboh Naning, semalam.

WhatsApp Image 2026 09 03 at 3.20.35 PM

TPR. Saifuddin mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika meninjau sekitar Laman Santai Sri Naning.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

TPr. Saifuddin berkata, selain menjadi lokasi aktiviti komuniti kemudahan itu juga menyediakan empat tapak perniagaan bertujuan untuk membantu penduduk sekitar menjana pendapatan sampingan menerusi tawaran pelbagai jenis jualan makanan.

“Pada majlis ini juga Ketua Menteri turut menyerahkan lesen perniagaan kepada penjaja berkenaan, mereka ini menawarkan jualan makanan seperti nasi kukus, rojak dan cendol,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post MELAKA GEOPARK UNIK, LAIN DARIPADA YANG LAIN
Next post KARNIVAL SUNGAI UDANG KAMPUNG KITA LERAI PENANTIAN DUA DEKAD