MELAKA GEOPARK UNIK, LAIN DARIPADA YANG LAIN

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 September – Aspiring Melaka Geopark dilihat mempunyai keunikan tersendiri berbanding geopark lain apabila 29 geotapak yang dikenal pasti merentasi tiga daerah negeri ini bukan sahaja menawarkan khazanah geologi, malah berkait rapat dengan sejarah dan warisan Melaka.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad berkata, keunikan itu menjadi antara kekuatan Melaka dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan pada tahun ini.

Menurut beliau, 29 geotapak dikenal pasti bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), masing-masing melibatkan kawasan di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“Melaka ini unik sedikit kerana kita bukan mempunyai satu kawasan geopark sahaja tetapi kita ada 29 geotapak yang dikenal pasti dan ia berada di tiga daerah.

“Antaranya di Melaka Tengah ialah Pulau Upeh, Pulau Besar dan Telok Mas, manakala di Jasin terdapat Bukit Batu Lebah dan di Alor Gajah pula antaranya Tanjung Tuan dan Tanjung Bidara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Menurut Nasrul, antara keunikan yang boleh diketengahkan ialah kewujudan kesan pemotongan batu laterit di Pulau Upeh yang menurut perkongsian bersama JMG mempunyai kaitan dengan sejarah penggunaan batu berkenaan di Melaka.

Ujarnya, batu laterit berkenaan dikatakan dibawa dari Pulau Upeh dan digunakan dalam pembinaan struktur bersejarah di Melaka termasuk Masjid Agung pada zaman Kesultanan Melayu Melaka serta Kota A Famosa selepas kejatuhan kerajaan berkenaan.

“Ini antara keunikan yang ada di Melaka yang mungkin tidak ada di tempat lain. Kita bukan sahaja boleh melihat geologi, tetapi boleh mengaitkannya dengan sejarah dan warisan yang kita ada.

“Sebab itu kita melihat Aspiring Melaka Geopark ini sebagai satu produk yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan,” katanya.

Nasrul berkata, sesi libat urus yang dilaksanakan itu merupakan antara perkara penting yang perlu disediakan dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan.

Katanya, sesi berkenaan turut melibatkan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengusaha hotel, komuniti kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan pelancongan serta geoguide.

“Kita mahu semua pihak memahami secara khusus apa itu geopark dan geotapak kerana mereka ini nantinya akan menjadi sebahagian daripada ekosistem pengurusan dan promosi geopark di Melaka.

“Insya-Allah, tahun ini kita akan cuba mendapatkan pengiktirafan Geopark Kebangsaan dan sesi penilaian bersama pihak berkaitan dijadualkan berlangsung pada November,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Melaka telah membuat persediaan sejak 2022 bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Melaka sebagai salah sebuah negeri yang mempunyai Geopark Kebangsaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post RKB AI: MELAKA SASAR URUSAN RAKYAT LEBIH PANTAS