KEBAJIKAN 400 ORANG ASLI BUKIT PAYUNG DIBELA TANPA KIRA AGAMA

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

TABOH NANING 3 September – Kebajikan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Payung terus diberi perhatian tanpa mengira latar belakang agama menerusi pelbagai inisiatif pembangunan, pendidikan dan perumahan yang dilaksanakan secara berterusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, pendekatan itu menjadi keutamaannya dalam memastikan seluruh masyarakat di kawasan berkenaan menerima manfaat pembangunan secara adil dan menyeluruh.

Menurut beliau, di Perkampungan Orang Asli Bukit Payung terdapat kira-kira 400 penduduk, di mana lebih 100 daripadanya merupakan beragama Islam, manakala bakinya penganut agama Kristian dan lain-lain.

Jelasnya, meskipun berbeza agama dan kepercayaan, perbezaan tersebut tidak pernah menjadi batas dalam usaha menyantuni serta membantu komuniti itu.

“Saya melayani mereka tidak mengikut kaum ataupun agama. Semua nikmat mereka dapat, kita cuba pastikan mereka menerima perhatian dan bantuan mengikut keperluan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Ramah MeSRa Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Payung yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Taboh Naning, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Zulkiflee yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, aspek pendidikan menjadi antara keutamaan dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

Katanya, sebanyak empat kelas petang Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diwujudkan bagi memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli beragama Islam mendapatkan pendidikan agama.

Selain itu, beliau berkata, aspek perumahan turut diberi perhatian menerusi bantuan pembinaan rumah baharu, khususnya kepada keluarga yang memerlukan.

Katanya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada tahun lalu turut membantu menyediakan dua buah rumah kepada saudara baharu di kampung berkenaan.

“Daripada MAIM, tahun lepas kita mendapat dua buah rumah untuk saudara mualaf. Alhamdulillah, MAIM banyak membantu saya sebagai wakil rakyat dan juga pemohon dalam memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi,” katanya.

Menurutnya, perhatian yang sama turut diberikan kepada masyarakat Orang Asli bukan beragama Islam dengan kunjungan secara berkala bagi mengenal pasti keperluan mereka.

“Saya juga sering menziarahi mereka yang bukan beragama Islam untuk melihat apa keperluan mereka, sama ada berkaitan rumah ataupun keperluan kehidupan yang lain.

“Insya-Allah, saya akan terus berganding bahu dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang sentiasa memantau pembangunan dan keperluan masyarakat Orang Asli di kampung ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post TOK RAUF BUKA JALAN BANTU RAKYAT TABOH NANING BAIKI KEHIDUPAN
Next post MELAKA SASAR SATU JABATAN, SATU PROJEK RKB MULAI TAHUN DEPAN