PENTERNAK SAMBUT BAIK INISIATIF PEMASANGAN ‘TAGGING’ QR

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TABOH NANING 6 September – Keputusan Kerajaan Negeri untuk mewajibkan semua ternakan di negeri ini didaftarkan secara digital menerusi pemasangan ‘tagging’ dilengkapi kod respon pantas (QR) disambut baik oleh pengusaha ladang haiwan ternakan.

Mohd Faizal Sulaiman, 33, sudah berkecimpung dalam bidang penternakan sejak lebih 10 tahun lalu amat bersetuju dan menyokong langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Seiring dengan perkembangan dunia digital, kaedah pengurusan haiwan ternakan juga perlu diberikan nafas baharu supaya semua urusan menjadi lebih mudah, lancar dan efisien.

“Secara peribadi inisiatif ini juga memudahkan urusan saya apabila terkait dengan agensi berkaitan khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Tagging QR Ternakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di Ladang Ternakan Lembu Taboh Naning Kampung Cherana Putih, pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zilkiflee Mohd Zin.

Selain pendaftaran Sistem QR Tagging 110 ternakan di ladang diusahakan Mohd Faizl turut diberikan suntikan vaksin penyakit kuku dan mulut (FMD) oleh JPV.

Terdahulu pada 16 Mei lalu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan peluncuran Sistem QR Tagging Haiwan Ternakan, sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri rintis dalam pelaksanaan inisiatif itu.

Pelaksanaan inisiatif itu, membuktikan sektor penternakan juga mampu bergerak seiring revolusi digital dan teknologi pintar, sekali gus meninggalkan kaedah pengurusan tradisional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post IBU MUDA MELAKA DAPAT SOKONGAN, KEKUATAN DI BAWAH KEPIMPINAN TOK RAUF
Next post KUIH BAKAR BERLAUK MELAKA CURI PERHATIAN DI MAHA 2026