
KUIH BAKAR BERLAUK MELAKA CURI PERHATIAN DI MAHA 2026
SERDANG 6 September – Selama ini dikenali dengan rasa manis dan aroma pandan, kuih bakar kini tampil dengan kelainan apabila seorang pengusaha dari Melaka memperkenalkan versi berlauk menerusi kuih bakar berlauk.
Inovasi berkenaan antara produk yang diketengahkan Kuih Bakar Melaka Homemade pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, di sini.
Pengusahanya, Muhammad Asri Abu Hashim, 43, berkata idea menghasilkan kuih bakar berlauk tercetus daripada keinginan untuk mempelbagaikan produk tradisional Melaka supaya kekal relevan dengan cita rasa pengguna masa kini.
Katanya, produk berkenaan mengekalkan asas dan identiti kuih bakar, namun diberi sentuhan baharu dengan penambahan inti berlauk yang menjadikannya versi ‘savoury’.
“Kuih Bakar Berlauk ini seakan kuih cara berlauk tetapi kita inovasikan kepada kuih bakar.
“Kita masih mengekalkan asas kuih bakar yang menjadi identiti produk, tetapi penambahan inti berlauk memberi kelainan dari segi rasa dan menjadikannya sesuai dinikmati sebagai hidangan ringan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pavilion Melaka pada MAHA 2026, di sini, pada Jumaat.
Menurut Muhammad Asri, inovasi itu turut membuktikan produk tradisional boleh dipelbagaikan mengikut trend dan cita rasa semasa tanpa menghilangkan identiti asalnya.
“Selama ini orang kenal kuih bakar sebagai kuih manis, jadi kami cuba hasilkan sesuatu yang berbeza dengan memperkenalkan versi berlauk,” katanya.
Katanya, pengenalan Kuih Bakar Berlauk pada MAHA 2026 turut mendapat perhatian pengunjung yang mengambil peluang mencuba sendiri produk berkenaan.
Dalam pada itu, Muhammad Asri berkata, penyertaan buat julung kalinya di MAHA 2026 menjadi suntikan semangat untuk terus mengembangkan produk selain memberi peluang menguji penerimaan pasaran secara lebih meluas.
“Kita dapat lihat sendiri reaksi pengunjung apabila mereka mencuba produk baharu ini. Ada yang terkejut kerana selama ini mereka hanya mengenali kuih bakar dalam versi manis.
“Maklum balas seperti ini penting untuk kami memperbaiki produk dan melihat potensi Kuih Bakar Berlauk untuk dikembangkan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


