RKB AI: MELAKA SASAR URUSAN RAKYAT LEBIH PANTAS

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 September – Sebanyak 20 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berteraskan kecerdasan buatan (AI) melibatkan 14 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka diketengahkan menerusi Konvensyen RKB Negeri Melaka 2026, sebagai langkah mempercepat dan memudah cara penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta komuniti perniagaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, pelaksanaan RKB merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam supaya lebih cekap, responsif dan berprestasi tinggi.

Menurut beliau, RKB di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses yang paling dekat dengan rakyat dan komuniti perniagaan, termasuk mengurangkan masa menunggu, bilangan dokumen, lapisan kelulusan, kos pematuhan serta ketidakpastian proses.

“Matlamatnya jelas iaitu memudahkan urusan rakyat dan perniagaan, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh daya saing dan pertumbuhan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035.

“Saya melihat 20 projek RKB AI ini sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar dan setiap projek harus membawa kita kepada peningkatan produktiviti dengan beberapa hasil utama iaitu masa yang lebih singkat, proses yang lebih mudah, keputusan yang lebih cepat atau perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mazrina Mohamed Ibramsah serta kenamaan lain.

Salhah berkata, reformasi tidak seharusnya sekadar menukar prosedur, mendigitalkan borang atau memperkenalkan sistem baharu, sebaliknya perubahan yang dilaksanakan perlu menghasilkan impak yang boleh dilihat, diukur dan dirasai rakyat serta komuniti perniagaan.

“Reformasi yang sebenar ialah perubahan yang boleh dilihat, diukur dan dirasai serta mampu memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Justeru, usaha mengadaptasi perkembangan teknologi khususnya AI perlu dipergiat bagi mempercepatkan proses, meningkatkan kualiti keputusan, mengurangkan kerja berulang selain menambah baik pengalaman pelanggan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan AI dalam RKB juga perlu dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan cara kerja dan bukannya sekadar penggunaan teknologi baharu dalam sistem sedia ada.

Katanya, fokus Kerajaan Negeri selepas ini adalah memastikan setiap projek yang diketengahkan bergerak daripada peringkat idea kepada pelaksanaan dan seterusnya menghasilkan impak yang boleh diukur.

“Kita tidak mahu projek ini berhenti sebagai idea yang baik atau sekadar satu sistem baharu. Kita mahu melihat hasilnya, sama ada masa dapat dipendekkan, proses dipermudah, keputusan dipercepatkan atau pengalaman pelanggan dapat ditambah baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

809
Kongsi :
Previous post MAIM TAWAR SEWA TUJUH PREMIS WAKAF DI JONKER WALK SERENDAH RM700