25 EDISI MELAKA BILA LARUT MALAM JANA RM2.89 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 September – Inisiatif Melaka Bila Larut Malam berjaya menjana pendapatan mencecah RM2.89 juta sepanjang 25 edisi sejak Mei 2024, sekali gus membuktikan aktiviti pelancongan waktu malam mampu memberi limpahan ekonomi kepada negeri.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pencapaian itu turut disokong kehadiran kira-kira 289,722 pengunjung sepanjang pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurut beliau, Melaka Bila Larut Malam yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran menjadi antara produk yang memperkayakan pengalaman pelancong selain membuka ruang kepada penggiat industri dan peniaga tempatan menjana pendapatan.

“Alhamdulillah, sepanjang 25 edisi pelaksanaannya sejak Mei 2024 yang lalu, Melaka Bila Larut Malam telah menarik kira-kira 289,722 pengunjung dan merekodkan nilai pendapatan mencecah RM2.89 juta.

“Ini membuktikan pelancongan waktu malam bukan sekadar menghidupkan suasana bandar, tetapi turut mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi dan memberi manfaat kepada penggiat industri serta peniaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka di sebuah hotel di Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Timbalan Pengarah, Jabatan Mineral & Geosains Negeri Sembilan/ Melaka; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Seksyen Rancangan Malaysia, Dasar Dan Statistik Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Faizah Abd Rahman @ Sulaiman serta lain-lain kenamaan.

Beliau berkata, kejayaan Melaka Bila Larut Malam turut menjadi antara penyumbang kepada momentum pertumbuhan sektor pelancongan negeri sepanjang pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2024-2026.

Katanya, jumlah kehadiran pelancong meningkat daripada 8.6 juta pada 2023 kepada 15.03 juta pada 2024 dan terus meningkat kepada 15.93 juta pada 2025.

“Sehingga Jun 2026, Melaka telah merekodkan kehadiran seramai 7.2 juta pelancong dan peningkatan ini turut disokong lebih 840 produk pelancongan yang ditawarkan di seluruh negeri.

“Bukan itu sahaja, menerusi Inisiatif Kemasukan Percuma Ke Produk Pelancongan Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, pertumbuhan sektor pelancongan turut memberi kesan positif kepada industri penginapan apabila kadar purata penginapan hotel meningkat daripada 49.75 peratus kepada 55.03 peratus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

742
Kongsi :
Previous post FATIN MAHU JADI ANAK KAMPUNG BUKIT PAYUNG PERTAMA GENGGAM IJAZAH SARJANA
Next post ‘TOK RAUF BANYAK BANTU RAKYAT, SAYA DOAKAN DIA PANJANG UMUR’