‘TOK RAUF BANYAK BANTU RAKYAT, SAYA DOAKAN DIA PANJANG UMUR’

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TABOH NANING 4 September – Bertahun-tahun hidup dalam rumah yang semakin uzur, beratapkan bumbung yang bocor dan tiang yang mula reput, Ibrahim Abu Bakar, 47, hanya mampu menunggu bantuan untuk menyediakan kediaman lebih selamat buat ibu bapanya.

Namun, kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke rumahnya sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning membawa sinar baharu apabila Ibrahim menerima bantuan bina baharu rumah bernilai RM70,000 di bawah Program Melaka Rumahku.

Ibrahim yang tinggal bersama bapanya, Abu Bakar Tahar, 87, yang uzur dan terlantar serta ibunya, Robiah Kasim, 77, berkata, rumah didiami mereka sebelum ini mengalami pelbagai kerosakan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya.

“Rumah ini banyak yang bocor, ada anai-anai, kera pula banyak melompat dengan mematahkan kayu bumbung dan tiang rumah. Memang banyak yang rosak, tapi kami tidak mampu untuk membaikinya.

“Dengan diri saya yang bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan lebih 20 tahun lalu dan tidak bekerja, selain adik-beradik yang juga ada keluarga sendiri dan kurang berkemampuan.

“Jadi apabila dapat sumbangan ini memang saya bersyukur sangat dan inilah hadiah untuk kami dan bantuan ini sajalah cara saya membalas jasa mak dan ayah,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam nada sebak.

Terdahulu, tiga beranak itu disantuni Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi menyampaikan sendiri berita gembira berhubung kelulusan permohonan bina baharu rumah tersebut.

Turut bersama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ibrahim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Adun Taboh Naning yang memberikan sumbangan cukup bermakna untuk mereka sekeluarga.

“Saya jumpa Ketua Menteri dan YB (Zulkiflee) rasanya tidak sampai dua bulan, terus dapat bantuan ini. Alhamdulillah. Saya doakan Tok Rauf dan YB dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan teruskan kepimpinan seperti ini yang banyak membantu rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai pendekatan Ketua Menteri yang turun padang bertemu rakyat, Ibrahim berkata, beliau melihat sendiri kesungguhan Ab Rauf membantu masyarakat tanpa hanya menunggu mereka datang mengadu.

“Bagi saya, Tok Rauf ini memang banyak bantu rakyat. Saya suka tengok cara dia bekerja. Dia turun ke rumah-rumah, dia turun padang dan tengok sendiri keadaan rakyat. Mereka tunjuk inilah sebuah kerajaan yang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post 25 EDISI MELAKA BILA LARUT MALAM JANA RM2.89 JUTA