MPJ UNGGULI KONVENSYEN RKB MELAKA, iNEXUS BERTERASKAN AI DINOBAT JOHAN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 4 September – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengungguli Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Melaka 2026 menerusi projek ‘iNEXUS – Integrated Operation Center & AI Powered Auto Reminder MPJ’ yang mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan pengurusan.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, kejayaan itu hasil komitmen dan usaha gigih pasukan iNEXUS dalam membangunkan serta membentangkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, iNEXUS merupakan pusat kawalan bersepadu atau ‘command centre’ yang mengintegrasikan pelbagai data penting bagi membolehkan pihak pengurusan mendapatkan maklumat dengan lebih pantas, tepat dan menyeluruh.

“Antara perkara yang ditekankan menerusi pembentangan projek ini ialah fungsi pemantauan hasil, kawasan berisiko serta perkongsian data dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia turut membolehkan pemantauan prestasi pembayaran dan tunggakan cukai dibuat dengan lebih berkesan, termasuk mengenal pasti kawasan yang mempunyai tahap pematuhan cukai yang rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Negeri Melaka 2026 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Md Azhan Samat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Saiful Hazwa Kipli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki dan Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah.

Muhammad Zahiruddin berkata, antara kelebihan utama iNEXUS adalah keupayaannya menyediakan maklumat secara masa nyata (real time) kepada pihak pengurusan tertinggi bagi membantu proses membuat keputusan dengan lebih pantas.

“Melalui sistem ini, kita dapat memperoleh maklumat secara ‘real time’ dan ia membantu pengurusan tertinggi mendapatkan gambaran keseluruhan berkaitan sesuatu perkara dengan lebih cepat.

“Pada masa sama, pemantauan dapat dibuat dengan lebih tersusun kerana pelbagai maklumat diintegrasikan dalam satu sistem,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen MPJ dalam membudayakan inovasi serta memanfaatkan teknologi AI bagi meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Untuk konvensyen ini, MPJ menghantar dua pasukan dengan mengetengahkan dua projek. Alhamdulillah, saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan atas komitmen yang diberikan dalam membentangkan hasil projek masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post ‘TOK RAUF BANYAK BANTU RAKYAT, SAYA DOAKAN DIA PANJANG UMUR’