
‘SYUKUR TAK PERLU LAGI ALIH-ALIH KATIL AYAH ELAK AIR HUJAN’
TABOH NANING 4 September – Setiap kali berlaku hujan lebat Mohd Hasbullah Hamid, 37, terpaksa mengalihkan katil bapanya Hamid Tambi @Mohd Esin, 78, yang terlantar bagi mengelakkan warga emas itu dibasahi air hujan berikutan kebocoran serius pada bumbung kediaman mereka.
Mohd Hasbullah berkata, kebocoran itu berpunca daripada serangan monyet liar yang bukan sahaja berkeliaran mencari makan malah turut merosakkan bumbung kediaman.
Katanya, lebih membimbangkan kediaman mereka juga pernah berlaku litar pintas berikutan sistem pendawaian elektrik terdedah kepada air hujan yang membasahi dinding.
“Paling merisaukan apabila hujan berlaku ketika saya keluar berniaga dan terpaksa tinggalkan ayah bersendirian di rumah. Jika tidak dapat pulang saya akan minta bantuan abang, adik atau suadara tinggal berhampiran untuk jenguk keadaan ayah dalam rumah.
“Alhamdulillah bantuan membaiki bumbung daripada Kerajaan Negeri amat melegakan saya, tidak lagi terlalu risau jika terpaksa tinggalkan ayah seorang diri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang singgah bertanya khabar dan melihat sendiri kebocoran pada bumbung kediaman mereka bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di Kampung Sungai Buloh, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini berkata, bapanya terlantar sejak 2020 selepas disahkan mengalami masalah sarat yang menyebabkan warga emas itu mengalami kesukaran untuk berjalan.
“Setiap bulan kami perlu sediakan kira-kira RM1,000 untuk beli keperluan ayah seperti ubat dan makanan tambahan, syukur dengan semua sumbangan yang disalurkan, amat bermakna untuk kami sekeluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


