35 ANAK MELAKA LANJUT PENGAJIAN KE TIMUR TENGAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PENGKALAN BATU 4 September – Seramai 35 anak Melaka bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah tahun ini, membabitkan 32 pelajar ke Mesir dan tiga lagi ke Jordan menerusi inisiatif strategik Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan mahasiswa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak Melaka mendapat sokongan sewajarnya untuk melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Jelas beliau, melalui inisiatif Sekretariat Pengurusan Luar Negara Negeri Melaka (S-Plan), Kerajaan Negeri telah menghulurkan bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM3,500 kepada setiap pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, manakala RM4,000 bagi pelajar ke Jordan.

“Bantuan ini membuktikan komitmen dan keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri Melaka serta agensi berkaitan dalam agenda memperkasa pendidikan anak-anak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelepasan Pelajar Timur Tengah Mesir dan Jordan Negeri Melaka Tahun 2026 di Lobi Pusat Islam Melaka Bukit Palah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka Ehsan Mohd Hosni @ Mohd Kusni; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, S-Plan merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri bagi memperkasa pendidikan dan pembangunan mahasiswa menerusi pelbagai program berfokus.

Katanya, antara program dilaksanakan termasuk Majlis Persediaan Pelajar Timur Tengah, temu duga penerima Dermasiswa Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Majlis KARISMA di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta penyelarasan dokumen pengajian bersama pihak KPT.

“Segala usaha ini sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dicetuskan Kerajaan Negeri Melaka, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri yang sentiasa cakna dalam memperkasa kebajikan, kecemerlangan serta pembangunan modal insan anak-anak Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post ‘SYUKUR TAK PERLU LAGI ALIH-ALIH KATIL AYAH ELAK AIR HUJAN’
Next post MAHA 2026: PAVILION MELAKA REKOD 110,000 PENGUNJUNG, NILAI JUALAN RM188,584