MAHA 2026: PAVILION MELAKA REKOD 110,000 PENGUNJUNG, NILAI JUALAN RM188,584

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERDANG 4 September – Pavilion Melaka pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan nilai jualan terkumpul RM188,584 dengan jumlah kunjungan mencecah 110,000 orang sejak dibuka pada 28 Ogos lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan produk tempatan Melaka mempunyai tarikan serta permintaan pasaran yang kukuh, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada usahawan negeri mengembangkan perniagaan.

“Seramai 19 usahawan tempatan daripada sektor Industri Asas Tani, makanan, minuman dan kraftangan dibawa menyertai MAHA 2026 bagi membuka jaringan perniagaan serta pasaran baharu.

“Penyertaan ini bukan sekadar bertujuan mempamerkan produk, sebaliknya menjadi platform untuk membawa produk Melaka ke pasaran lebih luas termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Pavilion Melaka sempena MAHA 2026.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pencapaian jualan dan jumlah pengunjung yang direkodkan Pavilion Melaka tahun ini membuktikan produk tempatan negeri itu mempunyai potensi pasaran yang besar.

“Matlamat kita di MAHA 2026 bukan sekadar mempamerkan produk, tetapi membuka jaringan perniagaan dan pasaran baharu serta membawa produk Melaka ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita mahu penyertaan usahawan Melaka di MAHA memberi impak yang lebih besar, bukan sahaja dari segi jualan sepanjang pameran, tetapi turut membuka peluang kerjasama dan pasaran baharu selepas berakhirnya MAHA 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

450
Kongsi :
Previous post 35 ANAK MELAKA LANJUT PENGAJIAN KE TIMUR TENGAH
Next post MISI SUMBANGAN PELAJAR MELAKA DI MESIR: MAIM NAFI ADA KAITAN DENGAN ILMAM