MISI SUMBANGAN PELAJAR MELAKA DI MESIR: MAIM NAFI ADA KAITAN DENGAN ILMAM

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 4 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menafikan mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Melaka, susulan kekeliruan berhubung misi sumbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke negara Timur Tengah itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penjelasan itu dilakukan susulan hantaran pertubuhan itu di platform media sosial bagi misi sumbangan kebajikan pelajar telah menimbulkan kekeliruan orang ramai berhubung kedudukan dan hubungan entiti tersebut dengan MAIM.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM menjelaskan ILMAM Melaka bukan entiti di bawah MAIM dan tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi, pertalian organisasi, struktur pentadbiran, pengurusan atau representasi dengan majlis berkenaan.

Ujar beliau, pihaknya juga telah mendapatkan penjelasan daripada wakil yang berada di Mesir yang tidak mengetahui mengenai kewujudan ILMAM yang memohon sumbangan bagi kebajikan anak Melaka di sana.

“Sehubungan itu, sebarang kenyataan, aktiviti, program, hebahan, kutipan, permohonan atau tindakan yang dibuat oleh pihak ILMAM Melaka adalah bukan di bawah kendalian, arahan, kelulusan atau tanggungjawab MAIM.

“Saya bimbang ada kumpulan-kumpulan yang mengambil kesempatan atas perkara ini dan menyalahgunakan dana yang disumbangkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Pelepasan Pelajar Timur Tengah Mesir dan Jordan Negeri Melaka Tahun 2026 di Lobi Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Ehsan Mohd Hosni @ Mohd Kusni; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.

Rahmad berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan saluran rasmi menerusi Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (S-Plan) bagi melaksanakan fungsi berkaitan pengurusan pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya di Timur Tengah membabitkan Mesir, Jordan dan Maghribi.

Katanya, S-Plan diterajui enam agensi utama iaitu MAIM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN), Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA).

Selain itu, ujar beliau, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan dermasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah iaitu berjumlah RM28,000 untuk pelajar ke Mesir dan RM40,000 untuk pelajar ke Jordan bagi tempoh pengajian empat tahun.

“Ini adalah dermasiswa, bermakna pelajar tidak perlu membayar balik dan segala keperluan yang ditetapkan telah disediakan untuk pelajar-pelajar ini,” katanya.

Rahmad turut menjelaskan bahawa ILMAM Melaka dan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) merupakan dua entiti yang berbeza.

Jelasnya, IMAM merupakan organisasi yang diiktiraf Kerajaan Negeri Melaka untuk mahasiswa anak negeri Melaka, khususnya dalam kalangan pelajar yang sedang menuntut di Mesir dan Jordan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada MAIM sebelum menyalurkan sebarang sumbangan berkaitan pelajar Melaka di luar negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post MAHA 2026: PAVILION MELAKA REKOD 110,000 PENGUNJUNG, NILAI JUALAN RM188,584
Next post MAHA 2026: PROJEK NANAS MELAKA SASAR PULANGAN RM25.53 JUTA