MAHA 2026: PROJEK NANAS MELAKA SASAR PULANGAN RM25.53 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERDANG 4 September – Melaka menyasarkan pulangan sehingga RM25.53 juta dalam tempoh lima tahun menerusi projek pembangunan nanas hasil kerjasama strategik antara MSN Agrofarm dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan membabitkan geran pembangunan berjumlah RM1.35 juta yang dimeterai menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Katanya, sasaran pulangan berkenaan hampir 19 kali ganda daripada nilai geran yang disediakan, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi baharu negeri.

“Antara hasil penting MAHA 2026 ialah kerjasama antara MSN Agrofarm dan LPNM yang melibatkan geran pembangunan sebanyak RM1.35 juta.

“Projek ini berpotensi menjana pulangan sehingga RM25.53 juta dalam tempoh lima tahun. Ini membuktikan MAHA 2026 bukan sekadar tempat pameran, tetapi platform yang menghasilkan peluang pelaburan dan perniagaan sebenar,” katanya selepas merasmikan Pavilion Melaka sempena MAHA 2026 di MAEPS Serdang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri mahu peluang kerjasama seperti itu dimanfaatkan bagi memperkukuh rantaian industri agromakanan negeri, selain meningkatkan nilai komersial hasil pertanian tempatan.

Katanya, jaringan strategik dengan agensi persekutuan dan pemain industri penting bagi memastikan sektor agro Melaka terus berkembang serta tidak hanya bergantung kepada pasaran sedia ada.

“Kita mahu produk Melaka bukan sahaja dikenali di Melaka, tetapi mampu menembusi pasaran seluruh negara dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan penyertaan Melaka di MAHA 2026 mampu diterjemahkan kepada hasil yang memberi nilai ekonomi kepada negeri, selain membuka ruang kepada lebih banyak peluang perniagaan pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post MISI SUMBANGAN PELAJAR MELAKA DI MESIR: MAIM NAFI ADA KAITAN DENGAN ILMAM
Next post PELAJAR MELAKA KE MESIR TERIMA BANTUAN SARAAN RM28,000, JORDAN RM40,000